DUNIA

BURSA MALAYSIA DITUTUP KUKUH SUSULAN AKTIVITI MEMBELI SAHAM BERHARGA RENDAH

07/10/2024 07:04 PM

Oleh Kisho Kumari Sucedaram

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) - Bursa Malaysia ditutup tinggi hari ini di tengah-tengah aliran meningkat serantau yang mendapat rangsangan daripada aktiviti membeli saham pada harga rendah terutamanya dalam kaunter komoditi dan barangan pengguna.  

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 5.32 mata, atau 0.32 peratus, kepada 1,635.29, daripada 1,629.97 pada Jumaat minggu lepas.

Indeks petunjuk pasaran itu yang dibuka tinggi naik 3.61 mata kepada 1,633.58, bergerak antara paras 1,628.12 dan 1,637.29 sepanjang sesi dagangan.

Di keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 548 berbanding 476, dengan 529 kaunter tidak berubah, 865 tidak diniagakan dan 15 digantung.

Jumlah dagangan merosot kepada 2.76 bilion unit bernilai RM2.74 bilion daripada 3.10 bilion unit bernilai RM2.67 bilion pada Jumaat minggu lepas.

"Sentimen pelabur bertambah baik berikutan kenaikan di Wall Street, dengan laporan senarai gaji bukan ladang Amerika Syarikat (AS)  yang lebih kukuh daripada jangkaan telah meningkatkan keyakinan pelabur," kata naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, kepada Bernama.

Beliau berkata pasaran saham China yang akan dibuka semula esok selepas cuti Golden Week turut mencetuskan aktiviti belian yang kukuh di pasaran serantau.

China dijangka mengumumkan langkah rangsangan tambahan pada Selasa, sebagai tambahan kepada beberapa langkah rangsangan ekonomi yang dilaksanakan sejak akhir September.

“Kami yakin perkembangan ini boleh menyokong prospek ekonomi global yang lebih kukuh.

"Bagaimanapun, pelabur dijangka terus mengambil pendekatan berhati-hati memandangkan ketidaktentuan pasaran yang berterusan dan ketidaktentuan geopolitik, terutamanya (perang yang semakin meruncing) di Timur Tengah,” katanya.

Oleh itu, beliau menjangkakan indeks FBM KLCI bergerak tidak berubah tetapi cenderung ke arah meningkat dalam jajaran 1,630-1,650 pada minggu ini.

Ketua Penyelidikan Apex Securities Bhd Kenneth Leong menjangkakan pergerakan pasaran yang stabil menjelang  pembentangan Belanjawan 2025 pada minggu depan.

“Pelabur juga akan memantau rapat minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS yang akan dikeluarkan pada Khamis, yang mana akan memberikan panduan tentang kadar dan kuantum penurunan kadar faedah AS pada masa hadapan,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan IHH Healthcare tidak berubah masing-masing pada RM10.50 dan RM7.22, Public Bank menokok tiga sen kepada RM4.56, CIMB naik empat sen kepada RM7.96 manakala Tenaga Nasional susut 30 sen kepada RM13.98.

Dalam kalangan kaunter cergas, Key Alliance, OCR Group dan Sanichi tidak berubah masing-masing pada setengah sen, 3.5 sen dan 1.5 sen, manakala Capital A naik empat sen kepada 90.5 sen dan Bumi Armada menambah 1.5 sen kepada 51.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 47.29 mata kepada 12,256.78, Indeks FBM Emas Shariah naik 59.48 mata kepada 12,173.69 dan Indeks FBMT 100 menambah 48.89 mata kepada 11,949.46.

Indeks FBM 70 menokok 108.62 mata kepada 17,395.02 dan Indeks FBM ACE meningkat 20.31 mata kepada 5,129.83.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan meningkat 26.44 mata kepada 7,212.22,  Indeks Tenaga naik 6.37 mata kepada 899.05, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 1.59 mata kepada 177.69 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 0.10 mata kepada 19,190.78.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.67 bilion unit bernilai RM2.52 bilion daripada 1.64 bilion unit bernilai RM2.40 bilion pada Jumaat minggu lepas.

Jumlah dagangan waran menyusut kepada 617.25 juta unit bernilai RM100.88 juta daripada 1.12 bilion unit bernilai RM175.19 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE menambah kepada 467.19 juta unit bernilai RM113.88 juta daripada 341.97 juta unit bernilai RM90.46 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 287.73 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (281.40 juta), pembinaan (238.02 juta), teknologi (191.30 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (75.52 juta), hartanah (159.51 juta), perladangan (54.34 juta), REITs (11.00 juta), dana tertutup (24,600), tenaga (188.82 juta), penjagaan kesihatan (68.36 juta), telekomunikasi dan media (36.61 juta), pengangkutan dan logistik (33.12 juta).), utiliti (49.40 juta) dan amanah perniagaan (516,900 juta).

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan