AM

PAHANG HARAP R&R LTU DITERUSKAN DEMI KESELESAAN, KESELAMATAN PENGGUNA

08/10/2024 10:41 AM

KUANTAN, 8 Okt (Bernama) -- Pahang mengharapkan cadangan pembinaan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di Lingkaran Tengah Utama (LTU) di negeri ini diteruskan bagi memberi kemudahan kepada pengguna jalan raya. 

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata kerajaan negeri sebelum ini telah membuat permohonan supaya kemudahan terbabit perlu dibina bagi memberi keselesaan dan keselamatan kepada pengguna dalam mendapatkan kemudahan rehat sepanjang pemanduan. 

Beliau berkata meskipun kos pembinaan R&R mencecah dua kali ganda daripada anggaran kos asal, kerajaan negeri berharap pihak Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Ekonomi memberi pertimbangan sewajarnya untuk meneruskan pembinaan infrastruktur itu.

“Kerajaan Pahang merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas pembinaan LTU sepanjang 299.4 kilometer yang melibatkan enam pakej pembinaan dengan kos keseluruhan RM7.7 bilion.

“Namun begitu, kerajaan negeri melahirkan rasa terkilan apabila satu daripada komponen penting dalam projek ini, iaitu kawasan R&R tidak dilaksanakan, walaupun terdapat dalam skop projek dan hanya penyediaan platform dan infrastruktur sahaja yang dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata kerajaan negeri turut memberi penekanan terhadap kepentingan pakej enam iaitu laluan Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur (LPT)-Pelangai dapat diluluskan bagi melengkapkan jaringan LTU.

Wan Rosdy berkata setakat ini empat laluan di sepanjang LTU telah pun dibuka iaitu laluan Bentong Bypass, Kampung Orang Asli Sungai Chandan-Kampung Asap, Raub Bypass dan Mentara-Kampung Seberang Jelai dengan kemajuan projek keseluruhan 66.01 peratus.

“Semoga projek pembinaan LTU dapat disiapkan mengikut jadual dan saya sekali lagi berharap agar pembinaan R&R ini dapat diteruskan juga untuk keselesaan pengguna,” katanya. 

Sebelum ini, media melaporkan dua lokasi dikenal pasti sebagai cadangan pembinaan kawasan R&R di LTU iaitu di antara laluan Bentong ke Raub dan Kampung Kechau Tui di Lipis.

Pembinaan laluan baharu yang dijangka siap menjelang akhir 2026 itu bakal memanfaatkan rakyat khususnya pengguna jalan raya yang melalui Pahang Barat (Bentong, Raub dan Lipis) menuju ke Kelantan.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan