AM

SASARAN 10,000 PEMAIN INDUSTRI DAN ORANG RAMAI HADIR MIT PAHANG 2024

08/10/2024 02:50 PM

KUANTAN, 8 Okt (Bernama) -- Kerajaan negeri menyasarkan 10,000 pemain industri dan orang ramai hadir ke program yang julung kali diadakan, Malaysia International Tourism Expo Pahang 2024 (MIT Pahang 2024) sepanjang tiga hari berlangsung bermula hari ini. 

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Pahang Leong Yu Man berkata ekspo yang diharap akan menjadi acara tahunan ini bermatlamat untuk memposisikan Malaysia, khususnya negeri ini dan Kuantan sebagai satu medan pertemuan pemain industri pelancongan. 

Beliau berkata penganjuran kali pertama ini telah berjaya menarik lebih 200 penggiat industri pelancongan dalam mahupun luar negara yang bersetuju melibatkan diri sebagai pempamer antaranya Thailand, Singapura, Indonesia, China, India, New Zealand, Korea dan Rusia.

“Program ini memang satu acara yang dinantikan, khususnya pemain industri. Sebab kita difahamkan, untuk mempromosikan pelancongan, pemain industri ataupun Tourism Malaysia biasanya mengambil bahagian dalam ekspo pelancongan luar seperti ITB Berlin, WTM London. 

“Kita percaya bahawa kita juga ada potensi untuk menarik pemain industri sampai ke Malaysia, khususnya negeri Pahang untuk perbincangan, perkongsian idea, bagaimana kita boleh membangunkan sektor pelancongan bersama,” katanya. 

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Perasmian MIT Pahang 2024 mewakili Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah di sini hari ini. 

Leong berkata menerusi ekspo ini juga, kerajaan negeri telah mengambil inisiatif membawa 90 syarikat pelancongan berskala besar dari 15 buah negara sebagai rakan strategik yang berpotensi membawa kemasukan pelancong ke Malaysia antaranya China, India dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

“Hasrat kita supaya dapat menganjurkan acara ini untuk tahun-tahun akan datang yang secara perlahan-lahan akan membangunkan Kuantan, negeri Pahang, sebagai satu hab pertemuan permain industri pelancongan,” katanya. 

Ekspo tiga hari itu bertujuan menyediakan platform ‘perniagaan ke perniagaan’ (B2B) kepada pemain pelancongan Asia Tenggara dan seluruh dunia untuk berhubung dan memupuk kerjasama selain mengadakan seminar dan bengkel kepada pemain industri untuk berkongsi pandangan dan pengetahuan.

Ekspo ini berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah dan terbuka kepada orang awam pada hari terakhir pameran iaitu pada 10 Okt bermula dari 10 pagi hingga 6 petang di Ruang Pameran.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan