AM

PAIP PECAH: GANGGUAN BEKALAN AIR TIDAK BERJADUAL DI 29 KAWASAN DI KL

08/10/2024 11:29 AM

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Sebanyak 29 kawasan di sekitar ibu negara mengalami gangguan air tidak berjadual bermula 6 pagi tadi akibat kerja-kerja pembaikan kecemasan paip pecah di Hab Pasar Seni di sini.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan memaklumkan kawasan terjejas termasuk Apartment Putra Ria, Brickfields, Bukit Bandaraya, Bukit Bangsar, Bukit Damansara, Bukit Persekutuan, Bukit Tunku, Damansara Heights, Damansara Town Centre, Idamansara dan Jalan Sultan Hishammuddin.

Kerja-kerja pembaikan dijadualkan selesai menjelang 1 pagi esok dan bekalan air akan disalurkan secara berperingkat setelah sistem pengedaran bekalan air utama stabil.

“Tempoh pemulihan bekalan air adalah berbeza, bergantung kepada lokasi premis pengguna dan tekanan air. Namun bekalan dijangka pulih sepenuhnya menjelang 1 petang esok,” menurut kenyataan itu.

Air Selangor memaklumkan lori-lori tangki akan digerakkan ke kawasan terjejas dengan keutamaan diberikan kepada premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan rumah mayat.

Pengguna boleh mendapatkan perkembangan mengenai gangguan bekalan menerusi saluran komunikasi rasmi Air Selangor atau laman web www.airselangor.com.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan