AM

JPS PERAK REKOD 117 KEJADIAN BANJIR SETAKAT 5 OKT - EXCO

08/10/2024 03:56 PM

BAGAN SERAI, 8 Okt (Bernama) -- Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak merekodkan 117 kejadian banjir dengan 85 peratus kejadian berlaku dalam kawasan titik panas banjir seluruh negeri ini dari Januari hingga 5 Okt lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata sebanyak 332 kawasan telah dikenal pasti berpotensi banjir. 

"Rekod JPS menunjukkan peningkatan taburan hujan yang tinggi iaitu kumulatif melebihi 100 milimeter (mm) hingga 150mm sehari dalam tempoh fasa peralihan monsun. 

"Sebanyak 26 kejadian banjir telah direkodkan melibatkan daerah Kerian dengan 10 kejadian banjir, Larut Matang dan Selama (LMS) pula tujuh, Kinta (enam) dan Kuala Kangsar (tiga)," katanya pada sidang media selepas lawatan kerja ke kawasan terjejas banjir di daerah Kerian di sini hari ini. 

Beliau berkata JPS juga telah mengaktifkan semua pam selain menempatkan pam bergerak di lokasi yang dikenal pasti berpotensi banjir bagi menyelesaikan masalah banjir termenung, khususnya di Kerian. 

Mohammad Nizar berkata tindakan awal JPS pada 17 Sept lepas adalah mengaktifkan semua rumah pam dan pam bergerak yang berada di saliran keluar ke Sungai Samagagah dan Sungai Kerian melibatkan banjir di Kampung Matang Tengah, Selekoh dan Parit Simpang 4. 

"Bagi lembangan Sungai Kurau, kejadian banjir berlaku pada 3 Okt lepas dan kita turut aktifkan kesemua pam termasuk pam bergerak bagi mengurangkan banjir di Kampung Batu 38, 40, Parit Air Hitam, Parit Mat Keling dan Parit Ali Kalang yang akan disalurkan ke Sungai Kurau," katanya.

Beliau berkata projek Rancangan Tebatan Banjir Lembangan Sungai Kerian (RTB Kerian) banyak membantu mengurangkan masalah banjir di dua daerah iaitu Kerian serta Larut Matang dan Selama (LMS).

"Setakat ini, ia (RTB Kerian) berfungsi dengan baik, namun ada komponen dan penambahbaikan lain yang perlu dibuat, tetapi dengan adanya RTB Kerian, banyak kawasan kampung yang dahulunya ditenggelami air kini berjaya kita elakkan," katanya.

-- BERNAMA

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan