AM

PEMULIHAN KANAK-KANAK GISBH: SELANGOR TUBUH PASUKAN KHAS

08/10/2024 12:22 PM

SHAH ALAM, 8 Okt (Bernama) -- Kerajaan Selangor menubuhkan satu pasukan khas bagi meneliti program pemulihan khusus untuk kanak-kanak yang diselamatkan daripada rumah amal GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) sebelum ini.

Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor Dr Mohammad Fahmi Ngah dan Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor Anfaal Saari dalam kenyataan bersama memaklumkan penubuhan itu berdasarkan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor pada 2 Okt lepas.

“Kerajaan Negeri Selangor sentiasa prihatin dan mengambil serius tentang kebajikan kanak-kanak dan kelompok rentan. Oleh itu pasukan khas ini ditubuhkan bagi memberikan tumpuan kepada kaedah-kaedah pemulihan.

“Ia bukan sahaja melibatkan isu-isu akidah tetapi juga kebajikan, isu kesihatan dan perkembangan mental-fizikal untuk memastikan kanak-kanak ini dapat dipulihkan dan diintegrasikan semula ke dalam masyarakat walaupun selepas tempoh pemulihan rasmi selama enam bulan ini,” menurut kenyataan itu.

Pasukan itu, bagi peringkat awal dianggotai wakil daripada Polis DiRaja Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Lembaga Zakat Selangor, Majlis Agama Islam Selangor, Jabatan Agama Islam Selangor, pakar-pakar psikologi dan pendidikan kanak-kanak Yayasan MBI serta Yayasan Selgate.

Menurut kenyataan itu, mesyuarat pertama pasukan khas berkenaan akan berlangsung pada 11 Okt ini dan dipengerusikan oleh Mohammad Fahmi dan Anfaal.

Polis melancarkan Op Global awal September lepas dan telah menyerbu rumah amal di seluruh Semenanjung yang dikaitkan dengan GISBH kerana disyaki terlibat dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak serta agama.

Hasil serbuan, seramai 572 termasuk kanak-kanak dan remaja berjaya diselamatkan selain 359 pengikut GISBH turut ditahan termasuk pengurusan tertinggi syarikat tersebut. 

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan