AM

BINA KEKUATAN PERPADUAN MELALUI SINERGI KERAJAAN, RAKYAT YANG LEBIH KUKUH

09/10/2024 12:12 AM

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Usaha memperkukuh perpaduan negara memerlukan sinergi pelbagai pihak termasuk rakyat, dengan menyertai pelbagai program yang dilaksanakan kerajaan menerusi Kementerian Perpaduan Negera.

Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata sinergi itu, dapat disuburkan menerusi pelbagai aktiviti yang dirangka sepanjang tahun antaranya program Semarak Kenegaraan, Semarak Perpaduan, Kembara Perpaduan dan juga program di bawah Rukun Tetangga.

Beliau berkata sehingga kini, program melibatkan pelbagai peringkat di akar umbi telah disertai lebih 15 juta rakyat Malaysia secara fizikal.

“Program ini menjadi platform kepada semua lapisan masyarakat, pelbagai latar belakang budaya, etnik dan agama untuk berinteraksi, saling kenal-mengenali, faham-memahami dan menerima persamaan dan perbezaan.

“Sebab itu kita tekankan aspek sinergi perpaduan rakyat dalam setiap program, malah kita mahu memperkukuh serta perluaskan lagi sama ada secara vertical dan lateralnya,” katanya ketika menjadi tetamu Program Ruang Bicara terbitan Bernama TV, malam ini.

Hasnol Zam Zam berkata sebagai usaha berterusan, kementerian itu turut menggembling penggunaan teknologi digital, penggunaan sosial media dan sebagainya sebagai platform tambahan bagi menyebarluaskan program yang disusun.

“Tahun hadapan kita sasarkan mencapai penyertaan 20 juta orang dan mungkin hingga satu peringkat nanti, setiap tahun seluruh rakyat Malaysia akan terlibat dalam program kita,” katanya.

Selain itu, Hasnol Zam Zam berkata kementerian itu ketika ini sedang membangunkan modul penghayatan Rukun Negara dan dijangka akan digunakan pada tahun hadapan, termasuk diterapkan dalam program-program rasmi kerajaan.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan