EKONOMI

MBSB BANK PERKENAL KADAR KEMPEN TERBARU UNTUK INDIVIDU, PKS

08/10/2024 04:24 PM

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- MBSB Bank Bhd mengumumkan kadar kempen terbarunya, menawarkan penyelesaian kewangan yang menarik untuk pelanggan individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Dalam kenyataan hari ini, katanya bank itu menyediakan Akaun Simpanan Peak Saver kepada pelanggan individu, yang menawarkan kadar keuntungan sebanyak 0.50 peratus setahun untuk baki sehingga RM10,000, dan 2.80 peratus setahun untuk baki melebihi RM10,000. 

Menurutnya kempen itu yang bermula 1 April 2024 hingga 31 Mac 2025 direka untuk memberi manfaat kepada penabung kecil dan penyimpan yang lebih besar, memberikan fleksibiliti sambil memaksimumkan keuntungan.

“Selain itu, akaun Term Deposit-i, sesuai untuk mereka yang mencari pelaburan jangka pendek hingga sederhana yang menjanjikan pulangan tetap dan selamat, menawarkan kadar keuntungan sebanyak 3.70 peratus setahun untuk tempoh enam bulan dan 4.00 peratus setahun untuk tempoh 12 bulan.

“Kempen ini memerlukan deposit minimum sebanyak RM10,000 dan berlangsung dari 2 September hingga 31 Dis 2024, antara yang paling tinggi di pasaran,” katanya.

MBSB turut memperkenalkan Akaun ‘Prime Deposit-i’ dengan tawaran pulangan yang lebih tinggi untuk pelanggan PKS.

Katanya akaun itu menawarkan 1.80 peratus setahun untuk baki di bawah RM50,000, 2.50 peratus setahun untuk baki melebihi RM50,000, dan 2.80 peratus setahun untuk baki melebihi RM500,001.

Menurutnya produk ini membantu pemilik perniagaan menguruskan aliran tunai dengan cekap sambil menjana pulangan yang menguntungkan.

Kempen ini tersedia daripada 26 Ogos 2024 sehingga 26 Ogos 2025.

Sementara itu, MBSB berkata Akaun ‘Prime Deposit-i’ menawarkan pulangan yang lebih tinggi, dengan kadar keuntungan sebanyak 3.80 peratus setahun untuk tempoh enam bulan dan 4.00 peratus setahun untuk tempoh 12 bulan, dengan deposit minimum sebanyak RM10,000.

Katanya kempen ini turut berlangsung sehingga 26 Ogos 2025.

“Melalui tawaran ini, MBSB Bank mengukuhkan komitmennya untuk mencipta nilai bagi pelanggan individu dan perniagaan dengan menyediakan penyelesaian kewangan yang inovatif, selamat, dan disesuaikan dengan keperluan pelanggan,” katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan