EKONOMI

ASEAN HARUS PASTIKAN SAMBUNGAN GRID KUASA MENJADI REALITI - SARAWAK ENERGY

08/10/2024 08:40 PM

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Kerajaan negara-negara anggota ASEAN perlu memastikan bahawa kesalinghubungan grid kuasa mereka menjadi kenyataan kerana peralihan tenaga tidak akan berlaku tanpa kesalinghubungan di rantau ini, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy Bhd Datuk Sharbini Suhaili.

“Kami membayangkan grid trans-ASEAN serupa dengan apa yang mereka ada di Eropah, di mana anda boleh berkongsi margin rizab anda dan menyampaikan tenaga boleh baharu (TBB) dari kawasan yang mempunyai sumber ke tempat yang tiada sumber.

"Ia akan membantu untuk mewujudkan skala ekonomi dan meningkatkan kemampuan, memastikan bahawa kita boleh membawa seluruh wilayah kepada fasa peralihan," tambahnya.

Sharbini berkata demikian semasa sesi pleno mengenai “Shaping Regional Energy Transition-From Malaysia to Beyond” yang berlangsung di Enlit Asia 2024 di sini hari ini.

Beliau berkata kuasa hidro di Sarawak sentiasa menjadi asas kepada perjalanan peralihan negeri itu ke arah pertumbuhan ekonomi yang mampan.

“Kami ingin berkongsi apa yang kami ada dengan jiran kami. Jadi, sebagai permulaan, kita tahu bahawa hubungan antara semua negara (ASEAN), jarak jauh dan cabaran dari segi politik, kewangan, dan risiko pasaran akan mengambil masa yang lama untuk kita menyedarinya.

“Dan jika kita hanya bergantung kepada kerajaan untuk melakukannya, ia akan mengambil masa lama. Jadi, apa yang kita putuskan ialah sektor swasta perlu memacu perkara ini,” katanya.

Sharbini berkata Sarawak Energy telah memacu grid Borneo dan syarikat itu menyambungkan grid kuasa ke Kalimantan Barat pada 2016.

Beliau berkata perbincangan juga sedang berjalan dengan Brunei dan Singapura serta Tenaga Nasional Bhd (TNB) berhubung kabel dasar laut ke Semenanjung Malaysia.

“Mudah-mudahan, kami akan membuat sambungan ke Sabah pada penghujung tahun ini atau tahun depan,” katanya.

Sharbini juga menekankan keperluan bagi kerajaan yang terlibat untuk bekerjasama dan membolehkan dasar untuk menyokong sektor swasta dalam industri tenaga.

"Kita perlu memacu sektor swasta tetapi anda memerlukan pemboleh daya dasar daripada penggubal dasar," katanya.

Sharbini menegaskan bahawa platform ASEAN adalah penting dan berharap apabila Malaysia mengambil alih jawatan pengerusinya tahun depan, negara akan dapat memacu Grid Kuasa ASEAN (APG) dan memastikan negara anggota dapat berkongsi dan membantu peralihan tenaga di rantau ini.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Bhd (TNB) Datuk Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata permintaan kapasiti kuasa di Malaysia boleh meningkat tiga kali ganda daripada kapasiti semasa menjelang 2050 memandangkan negara sedang bergerak pantas ke arah peralihan tenaga.

Dari segi perspektif serantau, beliau berkata pertumbuhan permintaan elektrik bagi negara ASEAN juga akan menjadi tiga hingga empat kali lebih tinggi daripada kapasiti semasa.

“Pada masa sama, kami juga melihat hasrat untuk menggunakan TBB dalam kapasiti penjanaan dengan sasaran untuk mencapai cita-cita karbon sifar yang sedang dilakukan oleh negara-negara di ASEAN termasuk Malaysia. Malaysia komited menjadi karbon sifar bersih menjelang 2050,” tambahnya.

Megat Jalaluddin berkata kerajaan negara-negara anggota ASEAN perlu memberi tumpuan kepada lima elemen utama bagi memastikan APG menjadi kenyataan termasuk mengharmonikan rangka kerja kawal selia dalam kalangan ASEAN.

“Elemen lain termasuk sambungan fizikal melalui pembangunan infrastruktur untuk sistem kuasa dan juga mewujudkan platform dagangan yang baik untuk membolehkan pengaturan teknikal dan komersial berlaku dalam satu pasaran,” katanya.

Megat Jalaluddin berkata perkongsian dan sokongan pelaburan kewangan akan menjadi kritikal bagi negara seperti Malaysia dan rantau ASEAN kerana pelaburan untuk infrastruktur fizikal dan penjanaan TBB pada kebiasaannya mencabar.

Beliau juga menyatakan bahawa pengetahuan, keupayaan dan pembinaan kapasiti adalah penting kepada asas APG.

"Kita perlu faham bahawa kadar setiap negara akan berbeza tetapi apa yang lebih penting ialah kita mempunyai pemahaman yang baik mengenai cara untuk bergerak ke hadapan berkenaan dengan peralihan tenaga untuk rantau ini," tambahnya.

 

-- BERNAMA

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan