JENAYAH & MAHKAMAH

POLIS SAMAN KENDERAAN DILETAK SEKITAR HRPB JIKA GANGGU LALU LINTAS, MENDATANGKAN BAHAYA

08/10/2024 09:18 PM

IPOH, 8 Okt (Bernama) -- Polis atas kuasa budi bicara tidak akan mengambil tindakan penguatkuasaan saman terhadap mana-mana kenderaan yang diletakkan di sepanjang Jalan Raja Ashman Shah iaitu di hadapan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini bagi kedua-dua hala.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad dalam kenyataan malam ini bagaimanapun berkata saman boleh dikeluarkan berdasarkan beberapa situasi seperti kenderaan diletakkan di hadapan hentian bas kedua-dua hala dan menghala ke lampu isyarat Jalan Raja Ashman Shah.

“Selain itu, tindakan saman juga akan dikenakan ke atas kenderaan yang diletakkan secara ‘double park’ di kedua-dua hala serta di sepanjang Jalan Raja Ashman Shah dan kenderaan yang diletakkan di bulatan Jalan Raja Ashman Shah,” katanya.

Justeru, beliau menasihatkan pengguna jalan raya khususnya warga Ipoh memberikan kerjasama yang baik dengan pihak polis serta sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan lalu lintas bagi menjamin keselamatan serta memastikan kelancaran lalu lintas.

Abang Zainal Abidin berkata keputusan itu hasil perbincangan bersama dengan Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional negeri A. Sivanesan dan Timbalan Pengarah HRPB Dr Mustafa Shawal Safian yang meninjau lokasi berkenaan hari ini.

Beliau berkata tinjauan itu bagi menyelesaikan isu kawasan meletak kenderaan ekoran ruang parkir sedia ada di HRPB amat terhad selain masalah kesesakan lalu lintas akibat laluan terhalang oleh kenderaan yang diletakkan di hadapan hospital berkenaan.

Terdahulu, media melaporkan Sivanesan berkata pihak polis tetap akan mengenakan saman kepada orang ramai yang meletakkan kenderaan di luar pekarangan HRPB jika didapati menghalang lalu lintas serta membahayakan kenderaan lain.

-- BERNAMA

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan