AM

SPPP MINTA LAPORAN PENUH KEJADIAN MUZIUM FERI SENGET

09/10/2024 06:57 PM

GEORGE TOWN, 9 Okt (Bernama) -- Syarikat yang menjalankan projek Muzium Feri Pulau Pinang diminta memberikan laporan penuh selepas beberapa keping gambar sebuah feri ikonik yang dalam proses pengubahsuaian kelihatan senget tular di media sosial hari ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) Datuk Yeoh Soon Hin berkata feri yang ditempatkan di perairan berhampiran Terminal Swettenham Pier Cruise Terminal (SPCT) itu mempunyai sejarah yang panjang di Pulau Pinang.

“Saya telah dimaklumkan mengenai perkara ini dan difahamkan bahawa syarikat yang menjalankan projek Muzium Feri ini iaitu Printhero Merchandise (M) Sdn Bhd sedang mengambil langkah-langkah mitigasi yang sewajarnya.

“Pihak SPPP juga telah meminta suatu laporan terperinci daripada pihak Printhero,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sementara itu, Kurator Muzium Feri Pulau Pinang Siti Faridah Hani Damsi ketika dihubungi berkata pihaknya akan mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai kejadian itu esok.

Difahamkan, feri berkenaan mengalami kebocoran di bahagian bawah menyebabkan ia dimasuki air sebelum senget.

Pada 2 Okt lepas, media melaporkan feri ikonik Pulau Pinang itu ditunda dari Bagan Dalam Slipway ke SPCT.

Feri yang pada asalnya separa tenggelam di Bagan Dalam, dekat sini pada 2021 sedang giat dibaik pulih untuk dijadikan muzium oleh syarikat Printhero Merchandise Sdn Bhd.

Kerja-kerja baik pulih feri itu telah siap sekitar 60 peratus hingga 70 peratus melibatkan kerja pembaikan utama dan ia ditunda ke SPCT untuk selesaikan baik kerja baik pulih sebelum diletakkan di Tanjung City Marina.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan