AM

BANJIR DI MELAKA PULIH, JUMLAH MANGSA DI BEBERAPA NEGERI MENURUN 

09/10/2024 07:09 PM

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Banjir di Melaka pulih apabila pusat pemindahan sementara (PPS) yang menempatkan 22 mangsa sejak Ahad lepas ditutup secara rasmi pada 1.30 tengah hari tadi  manakala beberapa negeri lain menunjukkan penurunan jumlah mangsa setakat 4 petang ini. 

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Melaka dalam satu kenyataan memaklumkan PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Tehel, Jasin ditutup apabila kesemua mangsa dari Kampung Parit Lampong dan Kampung Tanjong Laboh pulang ke kediaman masing-masing sejak pagi tadi selepas situasi dilaporkan selamat. 

Di JOHOR, dua PPS di Dewan Kampung Kolam Air, Kluang dan Kompleks Muafakat Kampung Sungai Pinggan, Pontian ditutup menjadikan jumlah mangsa di negeri itu menurun kepada 264 orang setakat 4 petang berbanding 496 orang pagi tadi. 

Pengerusi JPBN Johor Tan Sri Dr Azmi Rohani menerusi satu kenyataan memaklumkan kesemua mangsa berlindung di empat PPS yang masih beroperasi di SK Seri Anom, SK Parit Markom, Pontian, SK Sungai Linau, Kluang serta SK Seri Bunut di Batu Pahat. 

Di KEDAH, jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 2,379 orang setakat 4 petang ini berbanding 2,505 orang keluarga pagi tadi.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Kedah Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata kesemua mangsa ditempatkan di 20 PPS di empat daerah iaitu Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena dan Pendang.

"Di daerah Kubang Pasu, seramai 813 ditempatkan di sembilan PPS; Kota Setar seramai 818 daripada 257 keluarga ditempatkan di enam PPS; Pokok Sena seramai 409 orang daripada 143 keluarga ditempatkan di tiga PPS dan Pendang seramai 339 orang daripada 86 keluarga ditempatkan di dua PPS.

"Sementara itu, lima PPS yang dibuka di daerah Baling semalam ditutup sepenuhnya pada 10 pagi tadi selepas semua mangsa dibenarkan pulang ke rumah berikutan air telah surut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Di PERAK, Sekretariat JBPN negeri itu memaklumkan jumlah mangsa banjir terus berkurangan kepada 128 orang di dua PPS di daerah Kerian petang ini.

Sekretariat itu memaklumkan di daerah Hilir Perak iaitu PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak telah ditutup sepenuhnya pada 1.30 tengah hari tadi.

"Seramai 71 daripada 20 keluarga berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak manakala 57 orang daripada 17 keluarga pula ditempatkan di SK Parit Haji Aman, Bagan Serai," menurut kenyataan itu.

Di SELANGOR, kesemua PPS yang menempatkan mangsa banjir di Kuala Selangor ditutup pada 1.15 tengah hari tadi namun dikekalkan dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Di PERLIS, mangsa banjir berkurangan kepada 678 orang daripada 203 keluarga setakat 4 petang ini berbanding 686 mangsa daripada 225 keluarga pada sebelah pagi tadi.

Pengarah APM Perlis Lt Kol (PA) Mohd Izaimi Md Daud dalam kenyataan berkata lima PPS iaitu masing-masing tiga PPS di Arau manakala bagi kawasan Kangar terdapat dua PPS masih beroperasi menempatkan kesemua mangsa banjir berkenaan.

Beliau berkata PPS itu dibuka di SK Kubang Gajah, SK Guar Nangka dan SK Arau bagi kawasan Arau manakala PPS SK Sena dan PPS SK Bintong di Kangar.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan