EKONOMI

ASIA INTERNATIONAL EXCHANGE LABUAN LANCAR PLATFORM ASET DIGITAL

09/10/2024 08:02 PM

LABUAN, 9 Okt (Bernama) -- Asia International Exchange (AIX) mencatat peristiwa penting hari ini apabila menyempurnakan prapelancaran platform aset digitalnya yang menjadikan Labuan sebagai hab teknologi kewangan (fintech) utama di rantau ini.

Ketua Pegawai Eksekutif AIX Investment Group Company Ltd Roslan Ahmad berkata platform digital itu menunjukkan komitmen AIX untuk merevolusikan pasaran kewangan dengan urus niaga yang selamat, telus dan cekap melalui teknologi canggih.

“AIX mewakili lonjakan yang menyepadukan teknologi blockchain dan sistem dipacu AI untuk menawarkan akses kepada rangkaian luas produk kewangan, daripada mata wang kripto kepada aset-aset token.

“Visi kami adalah untuk menjadikan Labuan sebagai peneraju teknologi kewangan global dan pelancaran hari ini merupakan langkah penting ke arah merealisasikan matlamat itu,” katanya pada prapelancaran platform itu di sini hari ini.

Platform itu dilancarkan oleh Pengerusi Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (IBFC) Datuk Iskandar Mohd Nuli.

Roslan berkata agenda penting dalam acara itu ialah pengenalan SedeqahTech, satu lagi platform inovatif yang menggabungkan fintech dengan pemberian amal.

“Menggunakan teknologi blockchain, SedeqahTech memastikan ketelusan dalam derma dan menawarkan cara yang mudah untuk pengguna menyumbang kepada zakat, sedekah, infaq dan wakaf.

“Pada mulanya, platform itu akan bekerjasama dengan Rumah Zakat Indonesia dan Yayasan Wakaf Antarabangsa Khadijah (KIWF) bagi membolehkan kutipan zakat global, memacu pemerkasaan komuniti dan pembangunan mampan melalui kewangan Islam.

Beliau berkata SedeqahTech berpotensi untuk mengubah cara kewajipan ajaran Islam dipenuhi.

“Sementara kami memulakan kutipan zakat pada masa ini, visi jangka panjang kami termasuk memperluaskan platform meliputi sedekah, infaq dan wakaf, menyediakan penyelesaian yang telus dan moden untuk sumbangan amal global.

“Teknologi Blockchain akan memastikan derma boleh dikesan dan dikendalikan secara berintegriti,” katanya.

Roslan berkata pelancaran AIX juga mengetengahkan beberapa perkongsian strategik yang direka untuk meningkatkan inovasi kewangan dan peluang-peluang ekonomi di Labuan.

 “Selain itu, perkongsian dengan PT Smartin Advisor Sistem dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan menggalakkan celik kewangan dan menyediakan profesional masa depan untuk kerjaya dalam fintech dan perdagangan automatik," katanya.

Beliau berkata sebagai sebahagian daripada sokongan teknikal dan pemasarannya, AIX mengumumkan Fintech Asset Pro Sdn Bhd sebagai rakan kongsi teknikal fintech dan European Credit Investment Bank Ltd sebagai rakan pemasarannya, kedua-duanya pemain utama dalam memacu pertumbuhan platform itu.

“Kami komited untuk memacu inovasi, pendidikan dan pemerkasaan ekonomi memandangkan Labuan bakal berubah menjadi bandar digital.

“Dengan tumpuan kepada kemampanan dan keterangkuman, Labuan menyasarkan untuk menetapkan standard global bagi hab kewangan,” katanya.

--BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan