AM

MALAYSIA SASAR PERTUMBUHAN PELANCONGAN MENERUSI PROGRAM EDU+

09/10/2024 08:05 PM

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) hari ini melancarkan program Edu+, bertujuan mengukuhkan sektor pelancongan pendidikan di negara ini di samping mempromosikan pertukaran budaya dengan menumpukan usaha menarik pelajar antarabangsa.

Timbalan Menterinya Khairul Firdaus Akbar Khan berkata program itu menggabungkan pendidikan pelbagai aspek pengalaman berkaitan pelancongan termasuk  penghayatan budaya, program inap desa, ekopelancongan serta  aktiviti sukan.

“Sebanyak 19 institusi pendidikan swasta dan lapan agensi pelancongan telah menyatakan komitmen untuk menawarkan pakej Edu+ dan kami yakin program ini akan mendapat sambutan yang memberangsangkan. 

“Program itu dijangka menarik 10,000 pelajar pada 2024 serta menjana pendapatan sebanyak RM50 juta untuk negara,” katanya ketika berucap melancarkan Program Edu+ di sini hari ini.

Khairul Firdaus berkata fasa percubaan program itu akan menyasarkan pasaran Jepun dan merancang memperluas ke Korea, China, Rusia dan Vietnam sambil bekerjasama dengan Persatuan Kebangsaan Institusi Pendidikan Swasta (NAPEI) yang mencerminkan sinergi antara sektor pelancongan dan pendidikan serta mencipta peluang pembelajaran yang unik.

Beliau berkata program itu menawarkan pelajar antarabangsa di bawah umur 16 tahun yang mempunyai visa pelancong untuk mengikuti program pendidikan jangka pendek sambil bercuti di Malaysia.

Inisiatif itu juga selaras matlamat pelancongan Malaysia menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 yang bertujuan menarik 23.5 juta pelancong dan meraih RM147.1 bilion dalam hasil pelancongan.

Sementara itu, Timbalan Presiden NAPEI Datuk Lau Wai Cheng berkata program berkenaan menerima sambutan luar biasa daripada pengendali dan ejen pelancongan semasa promosi prapelancaran di Jepun dan Korea Selatan.

“Dengan sambutan positif yang kami terima daripada acara seperti Ekspo Pelancongan Jepun, kami berharap Edu+ akan terus menarik lebih banyak pelajar dari rantau ini,” katanya.

Pengerusi EduCity Iskandar Datuk Idzham Mohd Hashim berkata inisiatif ini bukan sahaja menawarkan lebih banyak pengalaman kepada pelajar antarabangsa tetapi juga mengukuhkan usaha untuk mempromosikan pertukaran budaya dan pelancongan lestari di rantau ini.

“Inisiatif Edu+ menyediakan platform unik bagi EduCity Iskandar sebagai rakan kongsi utama untuk mempamerkan infrastruktur dan kemudahan pendidikan bertaraf dunia kepada khalayak antarabangsa,” katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan