JENAYAH & MAHKAMAH

KANAK-KANAK PEREMPUAN HILANG KETIKA AMBIL MAKANAN DI KERETA

09/10/2024 10:03 PM

SHAH ALAM, 9 Okt (Bernama) -- Seorang kanak-kanak perempuan warga tempatan berumur 12 tahun dilaporkan hilang, selepas turun mengambil makanan daripada kereta yang diparkir di bawah kediamannya di sebuah flat di Bandar Bukit Tinggi 1 di Klang, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Cha Hoong Fong berkata pihaknya menerima laporan kejadian itu pada 8.59 malam semalam.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kanak-kanak itu turun ke tempat parkir selepas disuruh ibunya, untuk mengambil makanan dalam kereta sekitar 2.20 petang.

“Kanak-kanak tersebut turun seorang diri dan tidak kembali ke rumah. Pada jam 3 petang, ibu mangsa bertindak mencari kanak-kanak itu bagaimanapun tidak menemuinya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Susulan itu, Cha berkata ibu mangsa telah membuat laporan dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan dan membuka satu kertas enkuiri polis orang hilang bagi siasatan lanjut.

Beliau berkata kanak-kanak bernama Madrafataha Indal Bangsawan, digambarkan sebagai berbadan kurus, berkulit cerah, rambut di paras bahu serta berketinggian 150 sentimeter, dengan mangsa kali terakhir dilihat berpakaian baju t-shirt berwarna hijau serta berseluar ‘track’ hitam.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta untuk menyalurkan terus kepada IPD Klang Selatan di talian 03-33762222 atau balai polis berhampiran.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan