AM

BANTUAN KPT PASTIKAN PELAJAR KURANG BERKEMAMPUAN DAPAT TERUSKAN PENGAJIAN

10/10/2024 11:44 AM

KOTA KINABALU, 10 Okt (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan memberikan bantuan bersesuaian kepada mana-mana pelajar kurang berkemampuan yang ditawarkan tempat ke universiti itu.

Mengulas mengenai pelajar, Crisnanalina Jumis, 20, dari Paitan yang menghadapi kesukaran menyambung pengajian ke UMS disebabkan masalah kewangan, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud berkata kerajaan Persekutuan dan Sabah menyediakan pelbagai jenis bantuan kepada semua pelajar yang boleh didapati melalui bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) universiti.

"Ini bukan untuk kes Crisnanalina sahaja, bahkan tersedia buat semua mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT)," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mustapha berkata beliau telah menerima taklimat daripada UMS berhubung perkara itu dan Crisnanalina akan dibawa dari kampungnya dan mendaftar di UMS esok. 

"Kita cuba sedaya upaya mempermudah urusan pendaftaran pelajar yang memerlukan. Selain itu, Yayasan Perkasa Siswa (YPS-KPT) akan memberikan bantuan awal pengajian bernilai RM1,000 yang bakal disalurkan secara terus ke akaun beliau.

"Sekali lagi saya ucapkan berbanyak terima kasih atas keprihatinan semua. Semangat prihatin sebegini harus diteruskan dalam kalangan rakyat sesuai elemen Ihsan dalam gagasan Malaysia MADANI. Saya doakan adik Crisnanalina selamat maju jaya di menara gading, kami di KPT sedia membantu," katanya.

Baru-baru ini tular di media sosial impian Crisnanalina melanjutkan pelajaran masih samar akibat kekangan kewangan kerana walaupun mendapat tawaran belajar di UMS, keluarganya tidak mampu membayar RM3,000 untuk pendaftaran dengan tarikh akhir pada 14 Okt ini serta perbelanjaan lain.

Pelajar berkenaan juga cuba memohon bantuan kewangan sekali bayar kerajaan negeri menerusi laman sesawang https://.sabah.gov.my namun sambungan internet yang lemah di kampungnya menyukarkan proses permohonan.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan