AM

SULTAN TERENGGANU BERKENAN MENYELAM LETAK PLAK RASMI PROGRAM LABUHKAN TUKUN TIRUAN

10/10/2024 08:19 PM

MARANG, 10 Okt (Bernama) -- Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin hari ini berkenan membuat selaman sedalam 17 meter bagi meletakkan plak perasmian pada tukun tiruan di perairan Alur Tuman, di sini. 

Selaman pada jarak kira-kira lima batu nautika dari pantai itu adalah simbolik perasmian Program Melabuh Tukun Tiruan Kuboid Juvenil Penghalang Pukat Tunda Terengganu Rekreasi di perairan tersebut oleh baginda. 

Sebanyak 20 unit tukun tiruan kuboid juvenil penghalang pukat tunda yang dilabuhkan hari ini merupakan sebahagian daripada 100 unit tukun yang dibina dan dilabuhkan pada tahun ini melalui Program Memperkayakan Sumber Perikanan Marin Negeri Terengganu.

Pengerusi Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri Dr Azman Ibrahim berkata kerajaan negeri menyasarkan untuk mewujudkan garisan sempadan tukun di sepanjang 244 kilometer jarak pantai negeri itu. 

Beliau berkata perancangan satu kelompok tukun tiruan di setiap kilometer kawasan perairan negeri Terengganu itu bagi melindungi kawasan tangkapan nelayan zon A daripada pencerobohan terutamanya pukat tunda.

“Sekarang ini baru ada 60 tukun tiruan jadi masih banyak kerja yang perlu dilakukan dan banyak peruntukan yang diperlukan dalam meningkatkan sumber perikanan marin sekali gus memajukan sosioekonomi nelayan pantai,” katanya.

Azman berkata sebanyak 1,579 tukun tiruan telah dilabuhkan di perairan Terengganu sejak 2006 hingga kini dengan kos lebih RM18 juta membabitkan gabungan peruntukan daripada kerajaan negeri dan pusat manakala pendaratan sumber hasil laut dilihat meningkat kepada 46,000 tan metrik pada tahun lepas berbanding 33,000 tan metrik pada 2022.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan