AM

LKIM PERUNTUK LEBIH RM500,000 KEPADA NELAYAN DI KELANTAN

19/11/2024 10:00 PM

PASIR PUTEH, 19 Nov (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memperuntukkan RM525,000 daripada jumlah keseluruhan RM1.58 juta kepada nelayan di Kelantan bagi membantu meringankan beban golongan itu.

Pengerusi LKIM Muhammad Faiz Fadzil berkata peruntukan berkenaan adalah daripada kerajaan Persekutuan yang amat prihatin kepada nelayan di negeri ini.

Beliau berkata ia untuk memastikan kebajikan golongan itu terjaga selain menjamin sumber keselamatan hasil laut negara.

“Oleh itu, saya juga menyaran mereka (nelayan) untuk menceburkan diri dalam perusahaan hasil laut bagi menjana pendapatan lebih baik berbanding hanya bergantung kepada aktiviti nelayan tradisional,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Traktor di Bawah Program Mekanisasi dan Automasi 2024 dan Penyampaian Program Industri Asas Tani di sini hari ini.

Sementara itu, Muhammad Faiz menyerahkan sebuah traktor bernilai RM72,080 kepada nelayan bagi memudahkan mereka untuk membaiki kerosakan bot masing-masing di sekitar Semerak.

Beliau turut menyerahkan satu geran Agroproneur Muda dan dua geran pemadanan Change Upgrade Product di bawah Program Industri Asas Tani kepada tiga usahawan hasil laut dengan nilai keseluruhan RM116,521.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan