POLITIK

PM ANWAR UCAP TAKZIAH KEPADA KELUARGA TOKOH PENGGERAK WANITA PKR

10/10/2024 04:46 PM

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga tokoh penggerak wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Norol Ashikin Mahammud yang meninggal dunia pagi tadi. 

Menerusi catatan di Facebook, Anwar yang juga Presiden PKR berkata kehilangan Norol Ashikin sebagai antara tokoh penggerak wanita PKR di Shah Alam ternyata meninggalkan bekas yang mendalam terutama kepada wanita dan penggerak parti.

“Takziah kepada keluarga Almarhumah Norol Ashikin Mahammud atas kehilangan Almarhumah tercinta.

“Mendoakan Almarhumah diberi tempat yang istimewa olehNya serta keluarganya dikurniakan kekuatan dan kecekalan yang teguh dalam menempuh ujian Yang Maha Esa,” katanya.

Sementara itu Timbalan Pengerusi PKR Selangor Datuk Borhan Aman Shah ketika dihubungi Bernama berkata reformis berusia 67 tahun itu yang merupakan bekas Ahli Jawatankuasa (AJK) Wanita Cabang Shah Alam, meninggal dunia akibat komplikasi jantung dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 Shah Alam.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan