EKONOMI

TOP GLOVE JANGKA KEMBALI CATAT KEUNTUNGAN MENJELANG 2025

10/10/2024 07:20 PM

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Pengeluar sarung tangan, Top Glove Corporation Bhd jangka akan mencatatkan keuntungan semula menjelang tahun kewangan 2025 selepas didorong oleh peningkatan jumlah jualan dan kadar penggunaan yang lebih baik.

Walaupun kumpulan itu tidak berjaya meraih laba pada tahun kewangan 2024, Pengarah Urusan, Lim Cheong Guan berkata kumpulan itu kini pada peringkat akhir perjalanan pemulihannya.

“Kami positif mengenai prospek syarikat. Tahap ini ditetapkan untuk pulangan yang pasti berlaku pada tahun kewangan 2025 susulan peningkatan berterusan dalam volum jualan dan kadar penggunaan.

“Inisiatif penambahbaikan dalam kualiti, kecekapan termasuk kemampanan berterusan kumpulan akan meletakkan kami ke arah kejayaan,” katanya semasa taklimat maya kumpulan mengenai keputusan tahun kewangan 2024 hari ini.

Lim ketika mengulas lanjut menjelaskan kumpulan itu meramalkan permintaan untuk sarung tangan akan terus mengukuh, berdasarkan penambahan semula inventori di semua wilayah, ditambah pula dengan langkah Amerika Syarikat (AS) yang mahu melaksanakan tarif baharu ke atas import sarung tangan China.

"Pelanggan dari AS akan memulakan penyumberan luar kepada pengeluar Malaysia apabila tarif baharu 50 peratus ke atas import sarung tangan dari China berkuat kuasa menjelang 1 Jan 2025. 

“Memandangkan elaun pelepasan pelabuhan serta penghantaran pada sekitar 1.5 bulan membabitkan eksport dari China, AS tidak akan mengeksport sarung tangan perubatan dari China mulai pertengahan November dan seterusnya,” katanya.

Lim ketika bercakap mengenai purata harga jualan (ASP) menjangkakan harga berkemungkinan menaik berikutan ASP telah diselaraskan untuk mencerminkan kos bahan mentah yang lebih tinggi. 

Beliau menambah, memandangkan permintaan yang lebih mantap, Top Glove telah menyambung semula operasi kilang-kilangnya yang telah ditutup buat sementara waktu dan menubuhkan kilang baharu, sekali gus meningkatkan kapasiti pengeluaran sebanyak empat bilion keping, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 64 bilion keping menjelang Disember 2024. 

Pada tahun kewangan 2024, Top Glove mengurangkan kerugian bersihnya kepada RM61.81 juta daripada RM925.22 juta yang disaksikan semasa tahun kewangan 2023.

Hasil juga menokok 11 peratus kepada RM2.52 bilion berbanding RM2.26 bilion sebelum ini, disebabkan oleh lonjakan dalam jumlah jualan apabila pelanggan terus menambah inventori sarung tangan, yang membawa kepada kadar penggunaan yang lebih tinggi dan kecekapan kos yang dipertingkatkan.

-- BERNAMA

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan