AM

USAHA CARI LELAKI OKU DIKHUATIRI SESAT DI HUTAN KUALA KRAI DISAMBUNG HARI INI

10/10/2024 05:11 PM

KOTA BHARU, 10 Okt (Bernama) -- Usaha mencari dan menyelamat seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) yang dikhuatiri sesat dalam hutan di Rancangan Pemulihan Tanah Sungai Pas, Kuala Krai semalam, disambung semula pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai Nik Ahmad Afsham Nik Pa berkata gerakan mencari dan menyelamat Azhar Abdul Rashid, 50, semalam ditangguhkan pada pukul 4.44 petang akibat hujan lebat.

“Kita jangka operasi hari ini diteruskan hingga 4 petang hari ini, bergantung kepada faktor cuaca dan keselamatan," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata 38 anggota daripada pelbagai agensi terlibat dalam operasi, termasuk polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Nik Ahmad berkata radius pencarian lelaki itu juga diperluaskan hari ini hingga 4 kilometer berbanding semalam sekitar 200 meter dari lokasi lelaki itu dipercayai hilang semalam.  

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan