EKONOMI

SAHAM PUBLIC BANK, LPI CAPITAL DISAMBUNG SEMULA DAGANGAN PADA JUMAAT

10/10/2024 06:51 PM

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Saham Public Bank Bhd (Public Bank) dan LPI Capital Bhd (LPI Capital) akan disambung semula dagangan berkuat kuasa 9 pagi esok, menurut makluman berasingan daripada kedua-dua syarikat itu kepada Bursa Malaysia hari ini.

“Dagangan dalam waran berstruktur yang berkaitan dengan Public Bank juga akan disambung semula pada masa yang sama,” kata Public Bank.

Kedua-dua kaunter digantung selama dua hari iaitu semalam dan hari ini sementara menunggu pengumuman utama.

Pada sidang media hari ini, kumpulan perbankan ketiga terbesar negara mengikut aset itu mendedahkan rancangannya untuk memperoleh 44.15 peratus kepentingan dalam LPI Capital secara tunai iaitu RM1.72 bilion atau RM9.80 sesaham.

Katanya, cadangan pemerolehan berkenaan akan membolehkan bank itu menyediakan perkhidmatan pelengkap yang komprehensif kepada perkhidmatan kewangan semasanya.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank Tan Sri Tay Ah Lek berkata langkah itu juga selaras dengan rancangan kumpulan untuk berkembang melangkaui pertumbuhan organik, tetapi juga melalui pemerolehan strategik.

Public Bank mempunyai rizab tunai sebanyak RM12.4 bilion pada masa ini.

Sehingga 8 Okt, 2024, permodalan pasaran LPI berjumlah RM5.2 bilion manakala Public Bank pada RM88.7 bilion.

Sewaktu dagangan ditutup pada Selasa, 8 Okt, 2024, saham Public Bank meningkat satu sen kepada RM4.57 dengan 12.18 juta saham diniagakan manakala saham LPI meningkat 22 sen kepada RM13.00 dengan 68,100 saham bertukar tangan.

-- BERNAMA

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan