AM

LEBIH 7,000 POSMEN, PEKERJA KURIER TERUS BERSEMANGAT MENYUMBANG BAKTI - UPUS

10/10/2024 08:22 PM

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Pakaian Seragam Pos Malaysia  Berhad (UPUS) Semenanjung Malaysia Ismail Ali menzahirkan kelegaan dengan kenyataan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berhubung pekerjaan posmen.

“Walaupun dalam ledakan teknologi kecerdasan buatan (AI), menteri memberikan jaminan pekerjaan sebagai posmen di Pos Malaysia terus terjamin dan kekal relevan di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata ia pasti memberikan semangat kepada 7,204 posmen dan pekerja kurier untuk terus menyumbang bakti kepada Pos Malaysia dan negara sebagai wadah penyampai berita suka dan duka kepada rakyat.

Semalam, Fahmi ketika menghadiri Majlis Sambutan Hari Pos Sedunia 2024 menyarankan semua syarikat penghantaran dan logistik memanfaatkan teknologi seperti kenderaan elektrik (EV) dan AI untuk meningkatkan khidmat pelanggan dan keberkesanan operasi mereka.

Fahmi turut menekankan bahawa AI tidak mungkin menggantikan tenaga kerja manusia sebaliknya hanya akan merubah skop dan jenis pekerjaan. 

Dalam pada itu, Ismail berkata pihaknya menyambut baik usaha Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) yang telah melantik badan penasihat bagi meneliti kewajaran untuk meminda Akta Perkhidmatan Pos 2012.

Beliau berkata sudah sampai masanya akta berkenaan dikaji semula selepas tempoh 12 tahun.

Fahmi dilapor berkata kementerian bersama MCMC komited memastikan perkhidmatan pos dan kurier mengalami transformasi seiring dengan perkembangan zaman selain menekankan kepentingan meningkatkan khidmat pelanggan serta menyelesaikan isu dihadapi pengguna dengan segera.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan