AM

PELAN HALA TUJU PENYAHKARBONAN PENERBANGAN MALAYSIA PENTING UNTUK MASA DEPAN LESTARI - LOKE

10/10/2024 08:57 PM

SEPANG, 10 Okt (Bernama) -- Pelan Hala Tuju Penyahkarbonan Sektor Penerbangan Malaysia (MADB) akan terus berperanan penting dalam memimpin industri penerbangan ke arah masa depan lebih lestari, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Menurutnya pelan hala tuju itu bermatlamat untuk menggalakkan semua penggiat utama, termasuk syarikat penerbangan dan syarikat khidmat pengendalian darat untuk menerima pakai amalan yang lebih mampan dalam operasi masing-masing.

Bercakap kepada pemberita selepas pelancaran 20 traktor bagasi kenderaan elektrik di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini hari ini, katanya MADB menggariskan langkah mengurangkan kesan alam sekitar penerbangan dan menyokong peralihan industri kepada teknologi lebih bersih.

“Saya berpendapat ini adalah kerangka dasar yang sangat penting untuk mendorong industri penerbangan kita, terutama syarikat penerbangan, syarikat khidmat pengendalian darat dan semua pihak berkaitan dalam sektor itu untuk menerima pakai peralihan hijau.

"Kami akan mempermudah operasi memandangkan kami mahu melihat industri secara keseluruhannya boleh mengurangkan kos, beroperasi dengan lebih cekap dan yang lebih penting adalah ia menyokong dasar mesra alam yang sedang dilaksanakan kerajaan," katanya.

Loke berkata pelan hala tuju itu turut kekal sebagai tonggak kepada usaha Malaysia untuk menggalakkan operasi yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar di seluruh sektor penerbangan.

Pada 5 Sept 2024, Kementerian Pengangkutan melancarkan MADB dalam usaha melonjakkan komitmen negara mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050 bagi sektor itu.

MADB akan berperanan sebagai rujukan bagi kalangan pihak berkepentingan penerbangan di Malaysia dalam usaha mencapai matlamat penyahkarbonan itu.

-- BERNAMA

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan