EKONOMI

AIRASIA PACU KLIA JADI STATUS HAB MEGA LCC PERINGKAT GLOBAL, UMUM LIMA LALUAN BAHARU

10/10/2024 08:50 PM

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- AirAsia Group Bhd (AirAsia) diiktiraf oleh OAG Megahubs Index 2024 selaku penyumbang utama status Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai lapangan terbang paling terhubung atau hab mega bagi syarikat penerbangan tambang rendah (LCC) di peringkat global.

Status hab mega ialah lapangan terbang yang menawarkan jumlah penerbangan sambungan tertinggi ke destinasi antarabangsa.

Dalam pada itu, AirAsia dalam satu kenyataan hari ini turut mengesahkan pelancaran lima laluan baharu, menambah kepada 112 laluan antarabangsa dan 14 laluan domestik sedia ada yang kini beroperasi dari KLIA oleh semua syarikat penerbangan dalam kumpulannya.

Katanya, laluan baharu ini termasuk destinasi di seluruh Asia dan Afrika sehingga 236 pelepasan harian dari KLIA pada suku keempat tahun ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A dan Penasihat AirAsia Aviation Group Tan Sri Tony Fernandes berkata KLIA mendahului lapangan terbang di rantau ini dengan menawarkan lebih 14,500 penerbangan sambungan, mengatasi Singapura dan Bangkok dari segi sambungan udara.

“Peluasan rangkaian AirAsia yang berterusan bukan sahaja meningkatkan lagi kedudukan KLIA sebagai antara lapangan terbangan terbaik di dunia, malah memastikan kami kekal berdaya saing dalam menghubungkan pasaran baharu,” katanya. 

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Aviation Group Bo Lingam pula berkata syarikat telah mengaktifkan semula pesanan pesawat pada tahun ini dan telah menerima empat pesawat jenis A321neo baharu dan lima pesawat akan datang.

"Pengaktifan semula semua pesawat kami kini dalam proses dan dijangka siap pada tahun ini. Kami kini mempunyai pesanan untuk 361 buah pesawat jenis A321 untuk memenuhi strategi pengembangan dan keperluan sebagai kumpulan.

"Pesanan ini bakal memperluas rangkaian kami dengan pantas dan meningkatkan ketersambungan merentasi Asia dan seterusnya, selain menjadikan Asia Tenggara sebagai hab transit utama seperti Dubai melalui pelbagai hab kami," katanya.

-- BERNAMA

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan