DUNIA

FBM KLCI DIBUKA RENDAH TETAPI SUASANA PASARAN KEKAL POSITIF

11/10/2024 11:08 AM

Oleh Kisho Kumari Sucedaram

KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) -- Indeks barometer Bursa Malaysia dibuka rendah, sejajar dengan prestasi Wall Street yang lemah berikutan peniaga memberi reaksi negatif terhadap angka Indeks Harga Pengguna (IHP) Amerika Syarikat (AS) bagi September yang lebih tinggi daripada jangkaan, kata penganalisis.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.90 mata kepada 1,639.04 daripada 1,640.94 semalam.

Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah 5.15 mata kepada 1,635.79.

Bagaimanapun, suasana pasaran positif dengan 146 kaunter untung mengatasi 120 kaunter rugi manakala 244 kaunter kekal tidak berubah, 1,943 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 98.93 juta unit bernilai RM101.40 juta.

IHP AS meningkat 2.4 peratus pada September berbanding 12 bulan sebelumnya, tinggi sedikit daripada jangkaan 2.3 peratus tetapi lebih rendah daripada 2.5 peratus pada Ogos. 

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata hasil Perbendaharaan AS untuk tempoh 10 tahun telah berkurangan kepada 4.06 peratus.

Mengenai bursa tempatan, katanya FBM KLCI ditutup positif semalam tetapi di bawah paras tertinggi harian berikutan aktiviti pengambilan untung pada akhir sesi dagangan.

“Bagaimanapun, berita mengenai Public Bank Bhd mengambil alih LPI Capital Bhd pada diskaun 25 peratus daripada harga sebelum penggantungan sebanyak RM13 secara tunai memberi prospek yang baik kepada bank tersebut,” katanya kepada Bernama. 

Public Bank bercadang untuk mengambil alih 44.15 peratus kepentingan dalam LPI Capital, terdiri daripada 175.9 juta saham, dengan pertimbangan tunai RM1.72 bilion atau RM9.80 sesaham.

Oleh itu, Thong menjangka terdapat belian dalam Public Bank, yang menyumbang lebih lapan peratus daripada wajaran di FBM KLCI, justeru indeks dijangka berada dalam julat 1,640-1,650 hari ini.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan IHH Healthcare, masing-masing tidak berubah pada RM10.54 dan RM7.26, Public Bank, yang menyambung semula dagangan hari ini merosot 13 sen kepada RM4.44 manakala CIMB menambah dua sen kepada RM8.10 dan Tenaga Nasional naik empat sen kepada RM14.42.

Bagi kaunter aktif, Velocity Capital dan MY EG, masing-masing merosot setengah sen kepada 4.5 sen dan 93 sen. Pertama Digital meningkat setengah sen kepada 31.5 sen, Solar District naik 1.5 sen kepada 51 sen dan Key Asic tidak berubah pada 4.5 sen. 

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 6.83 mata kepada 12,310.41, Indeks FBMT 100 berkurangan 8.05 mata kepada 12,006.55 manakala Indeks FBM Emas Shariah meningkat 25.06 mata kepada 12,235.30, Indeks FBM 70 naik 10.01 mata kepada 17,588.50 dan Indeks FBM ACE menambah 7.20 mata kepada 5,157.94.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 78.33 mata kepada 19,224.94 manakala Indeks Perladangan naik 12.13 mata kepada 7,211.68. Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 0.53 mata kepada 176.35 dan Indeks Tenaga menambah 5.74 mata kepada 887.62.

-- BERNAMA

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan