EKONOMI

3REN KEMBANGKAN OPERASI, R&D DAN KUKUH KEHADIRAN PASARAN MELALUI IPO AKAN DATANG - MTDC

09/10/2024 06:47 PM

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Tawaran awam permulaan (IPO) 3REN Bhd (3REN) akan membolehkan kumpulan itu mengembangkan operasi, meningkatkan keupayaan penyelidikan dan pembangunan serta mengukuhkan kehadirannya dalam pasaran utama, kata Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC).

3REN ialah penyedia penyelesaian automasi dan perkhidmatan kejuruteraan yang memberi tumpuan kepada sektor semikonduktor, elektronik dan pembuatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MTDC Mohammad Hazani Hassan dalam satu kenyataan hari ini berkata pelancaran prospektus 3REN menandakan satu pencapaian penting dalam perjalanan syarikat, malah, MTDC berbangga kerana memainkan peranan dalam membantu 3REN mencapai sehingga ke tahap ini.

Menurut Mohammad Hazani, MTDC merupakan anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Bhd telah memainkan peranan penting sebagai rakan strategik dalam perjalanan pertumbuhan 3REN yang mengagumkan.

“Melalui anak syarikatnya, Sophic Automation Sdn Bhd, MTDC memudahkan pelaburan besar sebanyak RM8.8 juta melalui Dana Pertumbuhan Perniagaan sekali gus membolehkan 3REN meningkatkan inovasinya di peringkat serantau dan global.

“Untuk mengukuhkan lagi komitmennya terhadap kejayaan jangka panjang 3REN, MTDC baru-baru ini menukar 8,800 saham keutamaan boleh tukar boleh tebus (RCPS) kepada 71,700 saham biasa, menekankan peranan utamanya dalam memacu pengembangan berterusan syarikat dan potensi masa depan,” katanya.

Sebagai tambahan kepada pelaburan kewangannya, MTDC berkata pihaknya menyediakan khidmat nasihat strategik, memudahkan rundingan utama dan menawarkan bimbingan berterusan sepanjang perjalanan pertumbuhan 3REN bagi memastikan syarikat kekal menumpukan pada matlamat jangka panjangnya.

“Kami komited untuk menyokong syarikat teknologi berpotensi tinggi, memacu pemodenan perindustrian negara dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab serantau bagi pembuatan teknologi tinggi,” kata perbadanan itu.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan