BERITA TERGEMPAR   The future of ASEAN must include Timor-Leste, whose inclusion will expand the region's economy and contribute to fulfilling our grand vision - PM Anwar | Laos secara rasmi serah kepengerusian ASEAN kepada Malaysia | 
 DUNIA

OIC KECAM KEPUTUSAN ISRAEL RAMPAS TANAH IBU PEJABAT UNRWA DI BAITULMUQADDIS TIMUR

11/10/2024 06:10 PM

JEDDAH, 11 Okt (Bernama-WAFA) -- Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengutuk keras keputusan Israel untuk merampas tanah yang menempatkan ibu pejabat utama Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) di Baitulmuqaddis Timur.

OIC menganggap keputusan ini sebagai lanjutan daripada tindakan haram Israel yang bertujuan melemahkan kewujudan, mandat, aktiviti dan peranan UNRWA sebagai agensi PBB, dan pelanggaran jelas terhadap Piagam PBB dan resolusi berkaitan, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).

Organisasi itu menekankan bahawa semua tindakan yang menyalahi undang-undang, termasuk perbincangan mengenai rang undang-undang yang tidak sah untuk melemahkan agensiitu, serangan sistematik terhadap kemudahan UNRWA, serta pembunuhan dan kecederaan ratusan kakitangannya termasuk mereka yang terpaksa melarikan diri di sekolah-sekolah UNRWA, merupakan pelanggaran terhadap undang-undang dan jenayah antarabangsa yang memerlukan siasatan serta pertanggungjawaban.

OIC menegaskan kepentingan UNRWA dalam memastikan kestabilan di rantau ini dan menekankan peranannya untuk menyediakan perkhidmatan asas dan bantuan kemanusiaan kepada pelarian Palestin, terutamanya di Gaza.

OIC turut menyeru masyarakat antarabangsa untuk memikul tanggungjawab dengan mendesak Israel agar menghormati mandat yang diberikan kepada UNRWA oleh Perhimpunan Agung PBB, memastikan perlindungan terhadap fasiliti dan kakitangannya serta menghentikan semua tindakan dan serangan haram terhadap agensi itu.

-- BERNAMA-WAFA

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan