AM

PROJEK JALAN RAYA JADI TUMPUAN URDA - NANTA

11/10/2024 08:23 PM

KUCHING, 11 Okt (Bernama) -- Usaha meningkatkan akses jalan raya antara agenda besar Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA), kata pengerusinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata sebanyak 43 projek infrastruktur termasuk projek jalan, bekalan air serta kemudahan asas lain sedang dan telah dilaksanakan oleh agensi pembangunan terbabit.

“Kita mempunyai peruntukan RM1.5 bilion dan setakat ini sebanyak 13 (daripada 43) projek sudah siap dan ada dalam pelaksanaan. Projek besar kita adalah (membina) jalan raya di kawasan Belaga, Baleh, Kapit dan Song.

“Kita juga telah membangunkan makmal di semua daerah di bawah URDA untuk kita mengenal pasti projek yang diperlukan,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Lembaga Pengarah URDA di sini hari ini.

URDA ialah sebuah agensi di bawah Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) Sarawak yang ditubuhkan pada 12 Julai 2017 untuk memacu pembangunan di kawasan meliputi Kapit, Kanowit, Song, Belaga dan Bukit Mabong, meliputi 41,186 kilometer persegi.

-- BERNAMA



 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan