EKONOMI

MARII LATIH 1,253 JURUTERA BAGI MARTABATKAN MALAYSIA SEBAGAI HAB AUTOMOTIF ASEAN

11/10/2024 09:54 PM

KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) -- Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) melatih dan memperakui 1,253 jurutera melalui Program Pensijilan Profesional Kejuruteraan Digital dan Prototaip (DEP) sejak penubuhannya pada 2020.

Menurut agensi di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) itu, jumlah berkenaan termasuklah 482 jurutera yang menyempurnakan program 50 hari pada 2024, melibatkan lebih 120 syarikat pengangkutan dan mobiliti.

Seramai 482 jurutera kohort 2024 telah diiktiraf pada Anugerah Pencapaian Teknologi dan Kejuruteraan MARii (META) yang pertama.

MARii berkata program DEP yang memfokuskan pada reka bentuk bantuan komputer (CAD), kejuruteraan bantuan komputer (CAE) dan penggayaan bantuan komputer (CAS) memainkan peranan penting dalam membentuk generasi pemimpin industri yang seterusnya.

"Program ini selaras dengan matlamat Malaysia di bawah Dasar Automotif Negara 2020 dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030.

"Ia bagi memastikan jurutera mahir yang baharu ini serba lengkap untuk memacu pembangunan Kenderaan Generasi Seterusnya (NxGV) menggunakan teknologi Autonomi, Berhubungan, Elektrifikasi dan Mobiliti Dikongsi (ACES)," tambah agensi itu.

Pengarah Kanan MITI Faizal Mohd Yusof berkata kesan transformatif kecerdasan buatan (AI) generatif dalam industri automotif menyerlahkan cara AI merevolusikan reka bentuk, meramal, membuat dan mengeluarkan serta memperibadikan pengalaman pemanduan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MARii Azrul Reza Aziz menekankan pentingnya membangunkan bakat-bakat tempatan untuk memartabatkan Malaysia sebagai hab automotif ASEAN.

"Inisiatif ini bertujuan untuk melahirkan jurutera reka bentuk, jurutera simulasi dan pereka kenderaan yang diiktiraf di peringkat global yang mampu menyampaikan projek berkualiti dan mendapatkan projek baharu dalam pasaran automotif yang kompetitif," katanya.

Program DEP merupakan kerjasama antara MARii dan rakan kongsi teknologi terkemuka seperti Dassault Systemes, Altair dan Autodesk. Ia melengkapkan jurutera tempatan dengan peralatan dan kepakaran yang diperlukan untuk cemerlang dalam landskap automotif global.

Perodua Manufacturing Sdn Bhd; Proton Holdings Bhd; PHN Industry Sdn Bhd; APM Engineering & Research Sdn Bhd; dan Azman Hamzah Plastik Sdn Bhd adalah antara syarikat yang diiktiraf atas pencapaian luar biasa mereka di bawah program tersebut.

-- BERNAMA



 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan