EKONOMI

TUNE PROTECT PERKENAL DELAY LOUNGE PASS UNTUK PELANGGAN INSURANS PERJALANAN AIRASIA

20/12/2024 12:23 AM

KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) -- Tune Protect Group Bhd melancarkan Delay Lounge Pass yang menawarkan akses kepada lebih daripada 1,500 lounge lapangan terbang di seluruh dunia apabila penerbangan tertangguh selama dua jam atau lebih yang tersedia merentasi rangkaian global AirAsia.

Dalam satu kenyataan, syarikat insurans itu berkata Delay Lounge Pass eksklusif tersedia untuk pelanggan yang memilih satu daripada pelan Insurans Perjalanan AirAsia, seperti Value Pack, Premium Flex, dan AirAsia Plus 2 untuk penerbangan yang berlepas dari, atau akan tiba di Malaysia dan Thailand.

Ia berkata Delay Lounge Pass mengubah pengalaman penangguhan penerbangan dengan menyediakan lounge (ruang istirahat) lapangan terbang yang lengkap dengan kemudahan seperti Wi-Fi berkelajuan tinggi, stesen pengecasan, dan pelbagai kemudahan tambahan seperti rawatan spa serta diskaun di bar dan restoran.

"Inisiatif ini melangkaui manfaat insurans perjalanan biasa yang dinikmati oleh pelanggan AirAsia, seterusnya meningkatkan pengalaman perjalanan tanpa kebimbangan.

"Selain daripada pampasan kewangan yang menjadi sebahagian daripada perlindungan Insurans Perjalanan AirAsia, pelanggan kini juga dapat menikmati keselesaan lounge lapangan terbang untuk memanfaatkan masa menunggu dengan lebih baik," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif How Kim Lian berkata penangguhan perjalanan merupakan sesuatu yang tidak diingini, dan selalunya mencabar terutamanya apabila melancong dengan keluarga besar atau menguruskan jadual yang padat, lebih-lebih lagi semasa musim puncak seperti hujung tahun dan cuti sekolah.

“Inisiatif terbaharu ini mencerminkan komitmen Tune Protect untuk menyediakan penyelesaian inovatif yang berpaksikan pelanggan untuk para pengembara.

"Menawarkan akses ke lounge lapangan terbang ini merupakan titik permulaan dalam aspirasi kami untuk menjadi pemain yang relevan dalam ekosistem perjalanan di rantau ini,” kata How.

Syarikat itu berkata jika pelanggan tidak menggunakan baucar akses ke lounge yang diberikan semasa penerbangan ditangguh, ia masih sah untuk digunakan sekali sahaja dalam tempoh 30 hari daripada tarikh pengeluaran di mana-mana satu daripada 1,500 lounge lapangan terbang di seluruh dunia.

Baucar ini adalah unik kepada pengembara yang telah didaftarkan dan tidak boleh dipindah milik. Pelanggan yang membeli pelan Insurans Perjalanan AirAsia untuk rakan perjalanan mereka perlu memastikan setiap tetamu didaftarkan dengan betul untuk memastikan pengalaman yang lancar.

Selain daripada Delay Lounge Pass, Tune Protect turut menambahbaik ciri insurans dalam pelan Insurans Perjalanan AirAsia dengan memperkenalkan TravelFlex Lite, yang merupakan manfaat pembatalan fleksibel untuk situasi yang tidak dijangka.

"TravelFlex Lite akan memberikan pembayaran balik sehingga RM500 untuk kos tiket penerbangan jika pelanggan tidak dapat meneruskan perjalanan.

"Antara ciri utama lain yang disediakan dalam pelan Insurans Perjalanan AirAsia adalah seperti On-Time-Guarantee, yang memberikan pampasan RM100 untuk kelewatan dua jam, serta Kelewatan Bagasi, yang memberikan pampasan RM120 bagi setiap kelewatan enam jam, sehingga RM360," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan