AM

MTQHA: ELEMEN PENILAIAN DITAMBAH BAIK, BERI CABARAN KEPADA HAKIM

12/10/2024 12:42 AM

KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) -- Elemen penilaian terhadap peserta Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Antarabangsa (MTQHA) ke-64 telah ditambah baik menjadikan proses menilai satu tugas yang tidak mudah, kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee.

Pengerusi Jemaah hakim MTQHA itu berkata proses penilaian meliputi aspek tajwid, fasahah, kualiti suara serta ingatan khususnya bagi peserta hafazan.

“Dari segi penilaian, ia menggunakan garis panduan dan konsep yang sama.

“Namun begitu ada beberapa perkara teknikal yang kita tambah baik dari semasa ke semasa, hasil daripada perbincangan dengan para hakim berdasarkan pengalaman mereka,” katanya ketika ditemui di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini hari ini.

Beliau berkata hakim menilai berdasarkan bacaan yang diperdengarkan tanpa mengetahui identiti peserta bagi memastikan ketelusan dalam penghakiman dan mengelakkan sebarang unsur berat sebelah.

MTQHA pada tahun ini menampilkan 15 hakim dari pelbagai negara dengan mengekalkan beberapa hakim dari Maghribi dan Turkiye selain hakim baharu dari Arab Saudi dan Indonesia.

Sirajuddin berkata terdapat peningkatan ketara dari segi mutu bacaan peserta yang memberi cabaran kepada hakim untuk menilai mereka.

Sementara itu, qariah Malaysia Nor Hidayah Abdul Rahman antara tujuh peserta yang memperdengarkan bacaan mereka pada hari ketujuh malam ini.

Turut mengalunkan bacaan ialah Abdur Rasheed dari Pakistan, Ibrahim Issa Moussa Younos (Republik Afrika Tengah), Mactar Dieye (Senegal), Ahmet Aybar (Turkiye), Aimanfathi Amamier Adreedir (Libya) dan Nurul Huda Khamsani (Singapura).

  Pengurniaan hadiah kepada pemenang tilawah dan hafazan dijadual disempurnakan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah pada malam esok.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan