JENAYAH & MAHKAMAH

BWC BERI IMPAK POSITIF, KES SALAH GUNA KUASA TURUN - JKDM

12/10/2024 01:29 PM

SEPANG, 12 Okt (Bernama) -- Penggunaan kamera badan (BWC) dalam kalangan anggota dan pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menyaksikan kes tatakelakuan, rasuah dan penyalahgunaan kuasa menurun sebanyak 38.46 peratus atau hanya lapan kes bagi tempoh 1 Ogos 2023 hingga 31 Julai 2024.

Ketua Pengarahnya Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata statistik dari Cawangan Integriti jabatan itu menunjukkan terdapat 13 kes direkodkan pada 1 Ogos 2022 hingga 31 Julai 2023.

“Penggunaan BWC ini sangat memberikan impak positif kepada pegawai serta meningkatkan imej JKDM di mata masyarakat. 

“Hal ini membuktikan keberkesanan penggunaan BWC dalam kalangan pegawai JKDM di lapangan dan secara tidak langsung meningkatkan tahap integriti pasukan,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran BWC di Bangunan AMC (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

BWC ialah peranti kamera yang dipakaikan pada badan anggota semasa menjalankan tugas dan dicipta bagi tujuan merakam bukti dalam bentuk digital.

Pemakaian BWC di lima lokasi menjadi projek rintis yang dimulakan pada Oktober 2023 dengan perolehan sebanyak 60 unit secara sewaan bagi tempoh 36 bulan.

Lima lokasi terbabit iaitu cawangan pemeriksaan penumpang di KLIA Terminal 1 dan KLIA Terminal 2, cawangan penumpang di Bangunan Sultan Iskandar, Johor, Zon Bebas Pelabuhan Klang serta Bahagian Penguatkuasaan Ibu Pejabat JKDM di Putrajaya.

Sementara itu, pada sidang media, Anis Rizana berkata kos perolehan bagi projek rintis itu melibatkan kos sebanyak RM1.59 juta yang diluluskan kerajaan selaras keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) pada 2019.

“Kita harap ROI (pulangan pelaburan) untuk peruntukan yang telah disalurkan oleh MOF (Kementerian Kewangan) kepada JKDM ini akan dimanfaatkan sebaik mungkin,” katanya.

Beliau berkata penggunaan BWC turut meningkatkan prestasi kutipan hasil dari RM5.22 juta bagi tempoh Januari hingga September 2023 kepada RM6.34 juta bagi tempoh sama tahun ini.

“Peningkatan ini adalah sebanyak RM1.12 juta atau 21.46 peratus,” katanya.

Berkongsi perancangan JKDM, Anis Rizana berkata pihaknya merancang membekalkan BWC kepada semua pegawai dan anggota barisan hadapan bagi memantapkan tahap integriti serta mengurangkan persepsi negatif masyarakat terhadap pasukan itu.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan