AM

PERLIS MINTA PERKHIDMATAN SETIAUSAHA KERAJAAN NEGERI BAHARU LEBIH LAMA

12/10/2024 03:20 PM

KANGAR, 12 Okt (Bernama) -- Kerajaan Perlis meminta supaya tempoh perkhidmatan setiausaha kerajaan negeri yang baharu lebih lama bagi memastikan perancangan pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Menteri Besar Mohd Shukri Ramli berkata beliau menyuarakan permintaan itu kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof semalam.

"Saya kata (kepada Fadillah) Yang Amat Berhormat tolong pastikan setiausaha kerajaan negeri yang datang ini lama sikitla, dapat kami merancang untuk pembangunan negeri dengan lebih berkesan lagi. Dia kata insya-Allah, dia akan panjangkan kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2024 Peringkat Negeri Perlis di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra di sini hari ini yang dirasmikan Fadillah.

Setiausaha Kerajaan Negeri baharu Datuk Rahimi Ismail melaporkan diri semalam bagi menggantikan Datuk Che Murad Sayang Ramjan yang akan dilantik sebagai Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat Putrajaya selepas berkhidmat di Perlis sejak 3 Julai lepas.

Sepanjang tempoh pentadbiran Mohd Shukri sebagai Menteri Besar sejak 2022, Perlis telah menyaksikan pertukaran lima setiausaha kerajaan negeri.

   -- BERNAMA



 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan