AM

KAMPUNG ANGKAT@BATU LAUT : AGENSI BAWAH KEMENTERIAN KOMUNIKASI DISARAN IKUT LANGKAH BERNAMA

12/10/2024 03:29 PM

BANTING, 12 Okt (Bernama) -- Agensi dan jabatan di bawah Kementerian Komunikasi disaran menuruti langkah Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang menjadi perintis kepada Program Santuni MADANI: Satu Pemimpin Satu Kampung menerusi Kampung Angkat Bernama@Batu Laut, Tanjung Sepat, dekat sini.

Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi Nik Kamaruzaman Nik Husin berkata langkah Bernama itu, adalah bertepatan dengan saranan kerajaan dalam mendekati dan meningkatkan potensi sesebuah kampung selain menyentuh keperluan sosioekonomi penduduk setempat.

“Menerusi program ini, keperluan penduduk di kampung yang dipilih akan dikenal pasti dan mencadangkan kaedah penyelesaian dalam isu seperti kemiskinan, pendidikan, pengangguran, kesihatan dan sebagainya.

“Saya berharap jabatan dan agensi akan turut mengikut langkah sama dalam menjayakan (inisiatif) Kampung Angkat MADANI,” katanya kepada Bernama selepas perasmian Program Santuni MADANI: Satu Pemimpin Satu Kampung Kementerian Komunikasi-Kampung Angkat Bernama@Batu Laut di sini hari ini.

Selain Bernama, agensi dan jabatan yang terletak di bawah Kementerian Komunikasi termasuklah Jabatan Penyiaran, Jabatan Penerangan (JaPen), Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (Ipptar), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

Pada 5 Mei, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mencadangkan setiap pemimpin di negara ini termasuk Perdana Menteri, dipertanggungjawabkan menjaga sebuah kampung bagi mengetahui secara langsung masalah yang dihadapi di kampung berkenaan.

Program Santuni MADANI: Satu Pemimpin Satu Kampung merupakan program di bawah seliaan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri.

Nik Kamaruzaman berkata pemilihan Kampung Batu Laut sebagai kampung angkat, menepati ciri pemilihan yang akan memfokuskan aspek pendidikan termasuk dengan pendedahan lebih banyak maklumat berkaitan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), laluan kerjaya serta galakan membaca.

“Dengan menerapkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat, ia dapat membantu meningkatkan kemahiran, minat dan potensi diri terutamanya dalam kalangan pelajar dalam bidang pendidikan,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Ahli Parlimen Sepang Datuk Aiman Athirah Sabu merasmikan program berkenaan yang turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj dan Ketua Kampung Batu Laut Subandi Sangandi.

Program tersebut turut menyaksikan penyerahan buku bagi inisiatif Little Free Library (LFL) iaitu aktiviti yang dijalankan semasa Program Kempen 3B (Baca Bersama Bernama).

Lebih 200 penduduk setempat turut serta memeriahkan program berkenaan dengan penglibatan menerusi aktiviti senamrobik, kuiz, sukaneka kanak-kanak dan pertandingan membaca berita radio dan televisyen.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan