AM

TUNKU MAHKOTA ISMAIL RASMI TMIYC MUAR

12/10/2024 04:15 PM

MUAR, 12 Okt (Bernama) -- Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail hari ini berkenan merasmikan Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) Muar, di Jalan Stadium di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi; Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor Mohd Hairi Mad Shah; dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Tan Sri Dr Azmi Rohani.

Sementara itu Mohd Hairi berkata TMIYC berkenaan akan menjadi hab kepada penduduk Muar yang berpopulasi lebih 300,000 orang untuk menjalankan pelbagai aktiviti belia, sukan dan kemasyarakatan.

“TMIYC Muar juga menjadi penanda aras kepada pembinaan TMIYC yang akan direalisasikan di semua daerah di Johor, pada masa akan datang.

“Ini bagi memastikan belia di negeri ini mempunyai hab yang kondusif dan praktikal dengan harga mampu milik bagi menjalankan aktiviti dan sukan di pelbagai peringkat,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian pusat belia itu di sini hari ini.

Mohd Hairi berkata TMIYC Muar dengan keluasan 11 hektar itu merupakan TMIYC ketiga yang telah siap dibina dan dibuka kepada umum selepas di Johor Bahru dan di Renggam, Kluang.

Beliau berkata dua projek pembinaan TMIYC yang sedang dalam pelaksanaan dan dijangka beroperasi pada tahun depan ialah di Pasir Gudang dengan kemajuan projeknya pada tahap 82 peratus, manakala di Iskandar Puteri pula 33 peratus.

“Satu sesi perbincangan juga antara kerajaan negeri dengan Kementerian Belia dan Sukan akan diadakan, bagi mengusulkan permohonan dan cadangan pembinaan TMIYC bagi daerah-daerah lain,” katanya.

Pelbagai kemudahan disediakan di TMIYC Muar termasuk padang bola sepak sintetik beserta lampu limpah, gelanggang extreme, hab e-sukan, gelanggang futsal berbumbung dan asrama.

TMIYC merupakan cetusan idea Tunku Mahkota Ismail bertujuan sebagai platform untuk komuniti belia menjalankan aktiviti rekreasi dan beriadah secara santai, dengan TMIYC pertama diwujudkan di Johor Bahru pada 21 Dis 2020.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan