AM

DUA KENDERAAN ROSAK, HAMPIR TERJATUH DALAM INSIDEN TEBING RUNTUH DI AMPANG

12/10/2024 10:39 PM

KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) -- Hujan lebat yang berterusan di sekitar ibu negara hari ini menyebabkan dua kenderaan rosak selepas hampir terjatuh ke dalam longkang apabila tebing sungai di Taman Lembah Maju, Ampang dekat sini runtuh.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata bagaimanapun, insiden pada kira-kira 7 malam itu tidak melibatkan sebarang mangsa.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.14 malam sebelum sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Ampang dikerah ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, didapati berlaku kejadian tebing runtuh berhampiran sungai terbabit yang berketinggian 10 meter menyebabkan dua kenderaan yang diparkir di situ hampir masuk ke dalam longkang.

“Kes kemudian diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya untuk tindakan selanjutnya dan operasi tamat sepenuhnya pada 8.27 malam,” menurutnya dalam kenyataan di sini.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan