BERITA TERGEMPAR   The future of ASEAN must include Timor-Leste, whose inclusion will expand the region's economy and contribute to fulfilling our grand vision - PM Anwar | Laos secara rasmi serah kepengerusian ASEAN kepada Malaysia | 
 AM

PUSAT TAHFIZ DI N.SEMBILAN DISERU WUJUDKAN SKUAD BOMBA

11/10/2024 01:49 PM

Oleh Sarinah Mat Kasim

SEREMBAN, 11 Okt (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan menyeru agar lebih banyak pusat tahfiz di negeri ini mewujudkan Skuad Bomba Tahfiz bagi membantu kerja penyelamatan awal sekira berlaku kebakaran di premis masing-masing.

Pengarahnya Abdul Khair Osman berkata ketika ini terdapat 29 Skuad Tahfiz Bomba di negeri ini membabitkan 314 ahli yang berumur 15 tahun ke atas sejak ia dilancarkan pada 2017 dan jumlah itu dijangka terus meningkat.

"Di negeri ini kenapa kita naikkan semula skuad tahfiz ini kerana ia sebahagian respons pertama yang akan membantu kerja keselamatan kebakaran di premis masing-masing sementara menunggu bomba tiba.

"Memang ada pusat tahfiz yang enggan memberikan kerjasama untuk mewujudkan skuad tahfiz ini, tetapi setelah kita berjumpa, berbincang dan memberikan penerangan mengenai kebaikan skuad ini di premis, akhirnya mereka akur sekali gus mahu menubuhkannya,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Mengambil contoh tragedi kebakaran sebuah pusat tahfiz di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur pada 2017 yang meragut 23 nyawa, beliau berharap kejadian seumpama itu tidak berulang.

Beliau berkata penubuhan skuad tahfiz di sekolah agama itu juga bertujuan memberikan kesedaran dengan modul yang diterapkan termasuk sains kebakaran, pengetahuan kebombaan dan penyelamatan, kemudahan keselamatan kebakaran, pengungsian bangunan dan teknik penyelamatan.

“Mereka akan mengikuti modul khas terbabit selama lapan jam termasuk teori dan praktikal yang dilaksanakan oleh peringkat balai bomba serta akan menerima sijil pendaftaran dan keahlian selepas berjaya menamatkan modul," katanya.

Dalam pada itu, Abdul Khair berkata setiap premis perlu memahami dan mengenal pasti risiko yang ada di kawasan tempat tinggal bagi memudahkan tindakan awal diambil sekiranya berlaku perkara tidak diingini.

Beliau berkata pada masa sama pihak bomba akan melakukan semakan dan membuat pemeriksaan bangunan bagi memastikan tahap keselamatan premis terbabit benar-benar terjamin.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 336 skuad cilik bomba berdaftar dengan JBPM negeri setakat ini dan jumlah itu kian meningkat berikutan pertambahan permohonan. 

Katanya keahlian bagi Kelab Bomba Cilik terbuka sepanjang masa kepada semua prasekolah, Taman Didikan Kanak-Kanak (Tadika) dan Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika).

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan