AM

MANGSA BANJIR DI TIGA NEGERI TERUS MENINGKAT PETANG INI

13/10/2024 07:16 PM

KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) --  Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga negeri terjejas iaitu Johor, Perak dan Kedah terus mencatatkan peningkatan petang ini.

Di JOHOR, jumlah mangsa meningkat kepada 196 orang daripada 61 keluarga petang ini berbanding 147 orang daripada 46 keluarga pagi tadi, dengan pembukaan satu lagi PPS di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Layang-Layang, Kluang pada 2 petang tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata PPS berkenaan menempatkan 34 orang daripada 13 keluarga selepas kediaman mereka di Taman Layang-Layang dan Kampung Paya Layang-Layang dinaiki air.

“PPS lain yang masih beroperasi ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kampung Renggam di Kluang, SK Seri Bunut di Batu Pahat dan Dewan Kampung Murni Jaya di Kulai.

Di PERAK, 262 orang daripada 85 keluarga berada di PPS petang ini berbanding 166 orang daripada 51 keluarga pagi tadi.

Sekretariat JPBN memaklumkan mereka berlindung di enam PPS termasuk di tiga baharu dibuka di Kuala Kangsar iaitu PPS Dewan Orang Ramai Lintang, SK Lasah serta Dewan Pandak Hamid Pusat Sehenti Orang Asli (OAOSC) Bawong, yang menempatkan seramai 96 orang daripada 34 keluarga.

"Mangsa banjir di Kerian kekal 71 orang (20 keluarga) berlindung di PPS SK Changkat Lobak manakala di PPS SK Parit Haji Aman, Bagan Serai pula menempatkan 65 orang (20 keluarga).

"Di Hulu Perak, mangsa banjir juga kekal 30 orang (11 keluarga) di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Idris Shah II, Gerik," menurut sekretariat berkenaan.

Di KEDAH, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 2,438 orang daripada 749 keluarga setakat 4 petang berbanding 2,058 orang daripada 679 keluarga pagi tadi.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata kesemua mangsa dari Kota Setar, Baling, Pendang, Kubang Pasu dan Pokok Sena itu ditempatkan di 20 PPS.

Di Kota Setar, sebanyak 1,112 orang daripada 335 keluarga ditempatkan di lapan PPS, Baling (642 orang, 210 keluarga) di lapan PPS, Pendang (505 orang, 138 keluarga) di dua PPS manakala Kubang Pasu (108 orang, 38 keluarga) di satu PPS.

"Di Pokok Sena, jumlah mangsa banjir ialah sebanyak 71 orang daripada 28 keluarga di satu PPS. Dua PPS yang dibuka di daerah Sik pagi tadi pula telah ditutup sepenuhnya pada 1.30 tengah hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan