AM

PAHANG NEGERI TERBAHARU TERJEJAS BANJIR

13/10/2024 10:55 PM

KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Fasa peralihan monsun yang sedang berlaku menyaksikan Pahang menjadi negeri terbaharu dilanda banjir apabila dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka malam ini, manakala keadaan banjir di Johor, Perak dan Kedah tidak banyak berubah.

Di PAHANG, menurut aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, dua PPS dibuka di Temerloh yang menempatkan 66 mangsa banjir daripada 18 keluarga dengan 36 orang daripada 12 keluarga ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Lanchang, manakala 30 orang daripada enam keluarga berlindung di Balai Raya Mempateh.

Di JOHOR, jumlah mangsa banjir meningkat sedikit setakat 8 malam dengan 200 orang daripada 63 keluarga dipindahkan ke empat PPS berbanding 196 orang daripada 61 keluarga petang tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata tiga daerah terjejas akibat bencana berkenaan dengan Kluang merekodkan 101 mangsa daripada 41 keluarga, Kulai (83 orang, 19 keluarga) dan Batu Pahat (16 orang, tiga keluarga).

“Kawasan terjejas banjir antaranya Kampung Tengah Renggam, Taman Layang-Layang dan Kampung Paya Layang-Layang di Kluang; Kampung Murni Jaya, Kampung Sungai Siam, Kampung Sungai Sayong dan Kampung Sungai Besoi di Kulai serta Kampung Talang Bunut, Kampung Olak Batu dan Kampung Parit Nipah Laut di Batu Pahat,” katanya.

Di PERAK, Sekretariat JPBN memaklumkan jumlah mangsa bertambah kepada 268 orang daripada 85 keluarga berbanding 262 orang daripada 85 keluarga petang tadi dengan tiga daerah terjejas iaitu Kerian, Kuala Kangsar dan Hulu Perak.

Sebuah PPS dibuka pada 5 petang tadi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) RLKT Lasah di Sungai Siput dan sehingga kini pihak pasukan penyelamat masih dalam operasi memindahkan mangsa yang tinggal di kawasan terjejas dengan bencana alam itu.

"Di Hulu Perak, terdapat 36 mangsa daripada 11 keluarga, Kuala Kangsar (96 orang, 34 keluarga), Kerian (71 orang, 20 keluarga), manakala di Bagan Serai terdapat 65 orang daripada 20 keluarga,” menurut sekretariat itu.

Di KEDAH, jumlah mangsa banjir sedikit menurun kepada 2,312 orang daripada 709 keluarga setakat 8 malam berbanding 2,438 orang daripada 749 keluarga petang tadi.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata kesemua mangsa dari lima daerah iaitu Kota Setar, Baling, Pendang, Kubang Pasu dan Pokok Sena itu ditempatkan di 21 PPS.

“Di Kota Setar, sebanyak 1,005 orang daripada 302 keluarga ditempatkan di lapan PPS, Baling (642 orang, 210 keluarga) di sembilan PPS, Pendang (503 orang, 137 keluarga) di dua PPS, Kubang Pasu (91 orang, 32 keluarga) di satu PPS, manakala di Pokok Sena s71 orang daripada 28 keluarga ditempatkan di satu PPS,” katanya dalam kenyataan hari ini.

-- BERNAMA

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan