DUNIA

KETUA PBB PUJI PEMENANG HADIAH NOBEL KEAMANAN DARI JEPUN, WAKILI MANGSA BOM ATOM

13/10/2024 07:44 PM

NEW YORK, 13 Okt (Bernama-Kyodo) -- Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres pada Jumaat mengucapkan tahniah kepada pertubuhan terkemuka Jepun yang mewakili mangsa bom atom atas kemenangan mereka dalam Hadiah Nobel Keamanan, memuji mereka sebagai "tulang belakang pergerakan global untuk perlucutan senjata nuklear."

Dalam satu kenyataan, Guterres menyatakan solidariti PBB dengan "hibakusha" -- istilah Jepun untuk mangsa bom atom -- dengan menyifatkan mereka sebagai "inspirasi" untuk usaha global menghapuskan senjata nuklear, menurut Agensi Berita Kyodo.

Beliau menekankan bahawa pengalaman mangsa pengeboman atom di Hiroshima dan Nagasaki pada 1945 mengingatkan dunia bahawa ancaman senjata nuklear bukan hanya dari masa lalu.

“Bahaya senjata nuklear kembali menjadi sebahagian daripada retorik harian dalam hubungan antarabangsa.

"Satu-satunya cara untuk menghapuskan ancaman senjata nuklear adalah dengan penghapusan sepenuhnya," kata Guterres.

Pada Jumaat, Hadiah Nobel Keamanan 2024 dianugerahkan kepada Nihon Hidankyo, sebuah organisasi Jepun yang terdiri daripada mangsa bom atom Hiroshima dan Nagasaki, sebagai pengiktirafan atas usaha mereka 'mencapai dunia bebas senjata nuklear.'

Timbalan Setiausaha Agung PBB untuk Perlucutan Senjata, Izumi Nakamitsu turut menyuarakan sentimen yang sama dalam sidang akhbar di New York.

"Bayangkan selamat daripada pengeboman atom... kebanyakan orang tidak mahu mengingati semula kenangan itu. Namun, mangsa-mangsa ini memilih untuk berkongsi pengalaman tragis mereka dengan dunia, memperjuangkan pengurangan dan penghapusan senjata nuklear," kata Nakamitsu.

-- BERNAMA-KYODO

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan