SUKAN

OSCA WARRIORS JUARA KARNIVAL RAGBI LABUAN KALI KETIGA BERTURUT-TURUT

13/10/2024 09:01 PM

LABUAN, 13 Okt (Bernama) -- Kelab ragbi Osca Warriors dari Sabah merangkul gelaran juara Karnival Ragbi Labuan buat kali ketiga berturut-turut selepas menewaskan KK Sharks dengan keputusan 15-3 dalam perlawanan akhir hari ini.

Wakil Brunei, The Flying Kukris pula meraih tempat ketiga selepas menewaskan Putatan Scorpionz dari Sabah dengan keputusan 17-5.

Kejohanan yang memasuki edisi ke-22 itu berlangsung selama tiga hari di Padang Labuan Square, di sini bermula 11 Okt dengan menghimpunkan 24 pasukan.

Karnival tahunan ini yang dianggap sebagai antara acara ragbi yang paling dinantikan di rantau ini merupakan kerjasama antara Perbadanan Labuan (LC), Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Sukan Labuan, Kesatuan Ragbi Malaysia, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Labuan.

Presiden Persatuan Ragbi Labuan Abdul Rashid Adlie berkata beliau berterima kasih atas sambutan hangat yang diberikan peminat ragbi.

"Sejak kali pertama kami menganjurkan acara ini pada 2002, sokongan yang diterima amat menggalakkan dan ia terus menarik lebih banyak pasukan serta peminat setiap tahun," katanya kepada Bernama hari ini.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan