DUNIA

SPACEX AKAN JALANKAN UJIAN KELIMA ROKET STARSHIP

13/10/2024 07:49 PM

WASHINGTON, 13 Okt (Bernama-dpa) -- Roket tanpa pemandu Starship, sistem roket terbesar yang pernah dibina dijadualkan berlepas dari pelabuhan SpaceX di Texas pada Ahad untuk ujian penerbangan kelima, lapor agensi berita Jerman dpa.

Jendela pelancaran selama 30 minit akan dibuka pada 7 pagi (1200 GMT), selepas Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) memberikan kelulusan pada Sabtu.

Starship, yang terdiri daripada penggalak Super Heavy sepanjang kira-kira 70 meter dan bahagian atas sepanjang kira-kira 50 meter, juga dikenali sebagai Starship direka untuk membolehkan misi ke Bulan dan Marikh.

Sistem ini dibangunkan dengan cara yang membolehkan kapal angkasa dan roket itu digunakan semula selepas kembali ke Bumi.

 Starship, yang berukuran kira-kira 120 meter panjang dijangka mampu mengangkut lebih 100 tan kargo pada masa hadapan.

Bagaimanapun, pembangunan roket ini menghadapi beberapa masalah.

Dalam ujian pertama pada April lalu, keseluruhan sistem roket meletup selepas beberapa minit.

 Dalam ujian kedua pada November, dua peringkat roket itu terpisah dan bahagian atas terus dilancarkan, tetapi tidak lama kemudian kedua-duanya meletup secara berasingan.

Pada Mac, roket itu berjaya berlepas ke angkasa dalam ujian penerbangan ketiga tanpa pemandu tetapi kemudiannya musnah ketika kembali ke Bumi, manakala ujian keempat pada Jun menyaksikan Starship mendarat dengan terkawal buat kali pertama, namun masalah masih berlaku.

-- BERNAMA-dpa

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan