POLITIK

BEKAS AHLI CWC MIC K.P SAMY SERTAI PKR

13/10/2024 07:48 PM

KLANG, 13 Okt (Bernama) -- Bekas Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC K.P Samy menyertai PKR, dengan melahirkan keyakinan terhadap kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku presiden parti itu dan Perdana Menteri dalam memimpin negara ke arah kemajuan serta meningkatkan status sosioekonomi masyarakat India.

K.P Samy berkata beliau telah menyerahkan permohonan keahlian kepada PKR Bahagian Klang.

Beliau turut berikrar untuk meningkatkan keyakinan masyarakat India terhadap parti itu dan membantu menyebar maklumat penting terutama berkaitan inisiatif kebajikan kerajaan.

“Tujuan saya sangat jelas. PKR merupakan platform terbesar seterusnya untuk masyarakat India, selain daripada satu parti lain. 

"Walaupun ia parti pelbagai kaum, kita boleh mengukuhkan peranan masyarakat India dalam PKR. Kita juga boleh memanfaatkan platform ini untuk menghubungkan rakyat dengan menteri-menteri dalam Kerajaan MADANI untuk menyelesaikan isu-isu dibangkitkan oleh rakyat,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau menjangkakan membawa kira-kira 1,000 individu bersama-samanya menyertai PKR.

Sementara itu, Naib Presiden PKR K. Saraswathy yang turut menghadiri sidang media berkenaan berkata terdapat keperluan untuk ahli parti turun padang membantu memberi penjelasan dan menangani isu dibangkitkan rakyat.

“Dikatakan bahawa masyarakat India berasa kecewa kerana tiada tindakan diambil, namun sebenarnya bukan tiada tindakan. Isunya ialah apa yang dilakukan tidak disampaikan dengan baik kepada rakyat.

“Sememangnya maklumat disebarkan menerusi media sosial, tetapi untuk masyarakat India, kita perlu langkah seterusnya. Kita memerlukan orang (ahli) turun padang menyampaikan mesej berkenaan secara terus kepada mereka,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan