DUNIA

BANGLADESH HADAPI GELOMBANG DENGGI TERBURUK DENGAN 9 LAGI KEMATIAN

13/10/2024 07:56 PM

DHAKA, 13 Okt (Bernama-Xinhua) -- Bangladesh melaporkan sembilan lagi kematian akibat denggi pada Sabtu, menjadikan jumlah keseluruhan kematian kepada 210 sejak Januari.

Setakat ini, terdapat 47 kematian pada Oktober, selepas 80 kematian direkodkan pada September, lapor Xinhua.

Direktorat Jeneral Perkhidmatan Kesihatan (DGHS) Bangladesh turut melaporkan 915 kes baharu dalam tempoh 24 jam sehingga Sabtu, dengan jumlah keseluruhan kes denggi sepanjang bulan ini mencecah 10,872.

Sejak awal tahun ini, DGHS merekodkan 41,810 kes denggi.

Bagi membendung penularan kes, pihak berkuasa kesihatan Bangladesh memperketatkan usaha memeriksa kawasan pembiakan nyamuk dan melaksanakan operasi secara menyeluruh.

Tahun lepas juga menyaksikan 1,705 kematian akibat denggi di Bangladesh, menandakan jumlah kematian tahunan tertinggi yang pernah direkodkan.

-- BERNAMA-XINHUA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan