AM

PROJEK RAKIT TASIK KENYIR PERTAHAN BUDAYA, TINGKAT EKONOMI ORANG ASLI

14/10/2024 12:33 AM

KUALA BERANG, 13 Okt (Bernama) -- Projek pelancongan rakit Orang Asli di Tasik Kenyir di sini diusahakan dengan matlamat serampang dua mata iaitu bagi mengekalkan amalan tradisi komuniti itu selain membantu meningkatkan taraf ekonomi mereka apabila ia bakal menjadi satu lagi daya tarikan ke tasik berkenaan.

Penguasa Taman Negara Terengganu Sharena Sapri berkata projek berkenaan tercetus daripada hasrat untuk mengetengahkan tradisi rakit dalam kalangan suku Semaq Beri sejak ratusan tahun itu selain mahu mengkomersialkan kegiatan berkenaan bagi membantu menjana pendapatan. 

Beliau berkata rakit yang dibuat sepenuhnya oleh penduduk suku berkenaan adalah cetusan idea petugas Taman Negara Terengganu, badan bukan kerajaan (NGO) serta dua jurugambar bebas.

"Kami teruja dengan kehidupan Orang Asli di sini yang menggunakan rakit sebagai pengangkutan utama ketika mencari hasil hutan di sekitar kawasan ini. 

"Jadi, kami rasa ia perlu dijadikan satu produk pelancongan yang bukan hanya membantu menambah pendapatan Orang Asli setempat malah boleh mengekalkan tradisi pengangkutan berkenaan," katanya ketika ditemui pemberita di sini baru-baru ini.

Sharena berkata bayaran antara RM150 hingga RM200 dikenakan bagi sebuah rakit dengan aktiviti berkenaan dibuka kepada orang ramai empat hari seminggu iaitu Khamis hingga Ahad.

Beliau berkata pembinaan bagi sebuah rakit memerlukan kos kira-kira RM2,000 dan ketika ini hanya satu daripada empat rakit yang dirancang telah siap dibuat hasil sumbangan peribadi pihak yang prihatin.

“Projek itu diharap mampu mengekang eksploitasi terhadap Orang Asli oleh pihak luar yang membayar upah rendah setelah tenaga mereka dikerah bagi mendapatkan hasil hutan,” katanya.

Bercadang mengembangkan lagi projek berkenaan melalui kerjasama Persatuan Pelancongan Tasik Kenyir, beliau berkata pihaknya turut mengintai idea membina perkampungan budaya mini yang menonjolkan seni bina rumah Orang Asli, pakaian tradisional yang dipakai ketika upacara 'sewang', sumpit dan makanan etnik itu. 

Yakin produk berkenaan mampu menarik minat pelawat terutamanya pelancong antarabangsa, Sharena berkata mereka menjangkakan projek itu mula beroperasi selewat-lewatnya awal tahun depan.

Sementara itu, pembuat rakit, Ishak Samad, 41, berkata rakit sepanjang 12 meter itu menggunakan hasil hutan antaranya buluh khas yang digelar 'ley', kayu merawan dan anyaman daun nipah serta daun cucuh sebagai atap dan pembuatannya diwarisi daripada nenek moyang mereka.

Ishak berkata dia menyahut seruan projek itu apabila memikirkan sektor pelancongan melibatkan masyarakat Orang Asli di Terengganu masih kurang mendapat tumpuan. 

"Bila buat benda ini (rakit) bolehlah majukan sikit Orang Asli sebab ada tempat dalam pelancongan. Kenalah terbuka sikit, sampai bila nak duduk bawah tempurung.

"Jadi, kita harap projek ini dapat menjadi sumber ekonomi baharu kepada Orang Asli di kawasan ini," katanya sambil menambah rakit berkenaan mampu bertahan hingga setahun sekiranya tidak terlalu terdedah kepada cuaca panas. 

Ishak atau lebih dikenali sebagai Sohok berkata rakit itu mampu memuatkan 10 hingga 12 orang dan mengambil masa hingga dua minggu untuk disiapkan bergantung kepada keadaan cuaca dan ketersediaan peralatan.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan