AM

AHMAD ZAHID LAKUKAN KUNJUNGAN HORMAT KE ATAS PRESIDEN FILIPINA

14/10/2024 10:45 PM

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dalam lawatan rasmi ke Filipina mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Ferdinand R Marcos Jr hari ini.

Dalam pertemuan itu, Ahmad Zahid menyatakan komitmen jitu Malaysia untuk memperkukuh kerjasama bilateral antara kedua-dua negara, seiring persediaan Malaysia mengambil alih sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025.

"Kami turut mengintai ruang dan peluang ke arah meningkatkan kerjasama dalam industri halal, terutama membabitkan langkah memperluas usaha pensijilan halal dan meneroka peluang pertumbuhan perdagangan halal baharu, termasuk sektor pelancongan halal," katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini. 

Selain itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara berkata perbincangan mereka juga menekankan kepentingan TVET dalam memacu pertumbuhan ekonomi. 

Beliau menyatakan minat Malaysia untuk menjalin kerjasama rapat dengan Pihak Berkuasa Pendidikan Teknikal dan Kemahiran Filipina (TESDA) terutama membabitkan perkongsian kepakaran dan amalan baik.

Selain itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara turut membincangkan potensi inisiatif latihan bersama antara Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dan agensi berkaitan di Filipina untuk memperkukuh keupayaan tindak balas bersama.

"Saya juga menegaskan semula komitmen kami untuk memberikan bantuan kepada Filipina ketika menghadapi bencana," katanya.

Pada pertemuan itu, Ahmad Zahid juga memberi penekanan terhadap nilai dan aspirasi yang dikongsi bersama di samping menggariskan komitmen senada terhadap kestabilan dan kemakmuran serantau.

"Saya meletak harapan tinggi bahawa pertemuan ini akan menjadi asas ke arah usaha memperkukuh hubungan dengan kerajaan Filipina dan melorongkan laluan terhadap lebih banyak usaha kerjasama pada masa hadapan," katanya.

Ahmad Zahid mengadakan lawatan rasmi tiga hari ke Filipina bermula hari ini, dan mengetuai delegasi negara ke Persidangan Peringkat Menteri Asia-Pasifik ke-10 bagi Pengurangan Risiko Bencana (APMCDRR).

Esok, beliau akan menyampaikan kenyataan negara di Persidangan APMCDRR berhubung inisiatif, pelaksanaan, pencapaian dan cabaran dalam melaksanakan Kerangka Kerja Sendai bagi Pengurangan Risiko Bencana (SFDRR) 2015-2030.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan