AM

JALAN ULU LEGONG-TANJUNG PARI DITUTUP AKIBAT REKAHAN

15/10/2024 01:18 AM

BALING, 14 Okt (Bernama) -- Jalan Ulu Legong-Tanjung Pari di sini ditutup kepada semua jenis kenderaan selepas berlaku rekahan susulan hujan lebat berterusan di daerah ini sejak beberapa hari lepas. 

Jabatan Kerja Raya (JKR) Baling dalam notis hari ini memaklumkan penutupan jalan berkenaan bermula semalam sehingga tarikh yang akan diberitahu kelak.

Seorang pengguna jalan raya berkenaan Mohd Noor Mohd Zahari, 48, berkata dia ternampak rekahan itu semasa dalam perjalanan ke tapak perkhemahan berhampiran petang semalam.

"Saya dapat dengar bunyi seperti letupan mungkin disebabkan rekahan tanah, ia sangat kuat dan ada gegaran sewaktu saya memandu melalui jalan berkenaan kira-kira 2.30 petang semalam.

“Saya nampak pokok bergerak dan macam berlaku tanah runtuh, memang takut sangat ketika itu," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Mohd Noor berkata dia memberhentikan kereta dan keluar bersama rakan-rakan meninjau kawasan sekitar sebelum dikejutkan dengan bunyi deruan air yang kuat dan tidak lama kemudian jalan mula merekah sedikit demi sedikit sebelum menjadi semakin lebar.

Sementara itu, seorang penduduk Kampung Weng Dalam dekat sini Shukri Abdul Rahman, 61, berkata hujan lebat hampir setiap hari kebelakangan ini mungkin menjadi punca kejadian berkenaan.

"Jalan ini menjadi laluan utama kami untuk ke Tanjung Pari atau ke Ulu Legong serta Kampung Lalang kerana lebih dekat. Jalan ini juga menjadi laluan penduduk ke kebun getah dan dusun buah-buahan.

"Runtuhan ini kali pertama berlaku dan sudah tentu membimbangkan penduduk dan saya harap tindakan segera dapat diambil untuk membaik pulih laluan ini," katanya.

Tinjauan Bernama di lokasi kejadian mendapati JKR telah memasang kon penghadang bagi mengelakkan pengguna jalan raya melalui jalan terbabit.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan