AM

KAJIAN DATA PERBUKUAN NEGARA PERTAMA SELESAI - AARON

15/10/2024 01:12 PM

PUTRAJAYA, 15 Okt (Bernama) -- Kajian Data Perbukuan Negara yang pertama telah selesai dilaksanakan oleh Kementerian Perpaduan Negara  (KPN) menerusi Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), kata menteri berkaitan Datuk Aaron Ago Dagang.

Beliau berkata industri perbukuan di Malaysia merupakan antara sektor penting dalam perkembangan intelek, pendidikan, perniagaan dan budaya negara justeru kajian tersebut berfungsi mewujudkan satu profil perbukuan negara terkini. 

Beliau berkata kajian itu dapat membantu kerajaan dalam mengemas kini Dasar Buku Negara terutama berdasarkan petunjuk yang menjadi penanda aras kepada pemain industri, kerajaan dan pengguna serta membantu merangka satu dasar dalam penyediaan bahan bacaan yang diminati rakyat Malaysia.

"Melalui kajian ini, PNM telah menghasilkan Pelan Tindakan bagi Pemerkasaan Industri Buku Negara yang menyentuh pelbagai perkara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara aspek di bawah pelan berkenaan termasuk memperluas pelaksanaan kempen membaca di setiap kementerian dan agensi, menghidupkan kembali Program Penebusan Baucar Buku Semarak Membaca dalam kalangan murid sekolah, menambah baik insentif kepada penulis buku dan meneruskan inisiatif Program Dana Penulis.

 Aaron berkata kini terdapat 944 syarikat penerbitan yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) manakala 57 persatuan berkaitan penerbitan didaftarkan di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS). 

Sumbangan aktiviti penerbitan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2021 adalah sebanyak RM4.9 bilion.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan