AM

MARA BAWA PELAJAR CEMERLANG DUDUKI UJIAN UKKM, IGCSE

15/10/2024 11:35 PM

KOTA BHARU, 15 Okt (Bernama) -- Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan menguruskan pengangkutan pelajar cemerlang Nur Nasuha Nusi, 12, yang tidak dapat menjalani ujian kelayakan ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) (UKKM) kerana tidak mempunyai kenderaan disebabkan kemiskinan keluarganya.

Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata pihaknya sedaya upaya memberikan bantuan agar tiada pelajar cemerlang yang tercicir dan meminta perkara berkenaan dimaklumkan terus kepada pihak berkenaan.

“Insya-Allah, pihak MRSM Kuala Krai akan membantu uruskan pengangkutan pelajar ini bagi menduduki peperiksaan UKKM.

"Saya telah sebutkan banyak kali supaya jangan jadikan alasan kemiskinan mahupun kekangan kewangan sebagai faktor penghalang untuk menyambung pengajian," katanya menerusi laman Facebook hari ini.

Asyraf Wajdi berkata demikian sebagai maklum balas terhadap isu Nur Nasuha yang tinggal di Kampung Lubok Nibong, Pal Badol, Bachok, bersedih kerana tidak dapat menjalani ujian kelayakan ke MRSM disebabkan tidak mempunyai kenderaan dan kemiskinan keluarganya. 

Beliau berkata Bahagian Pendidikan Menengah MARA akan mengumumkan tarikh baharu UKKM kepada calon yang memohon penukaran tarikh ujian atas pelbagai sebab yang akan dimaklumkan pada 23 Okt nanti.

Media sebelum ini melaporkan Nur Nasuha terlepas menduduki UKKM dan ujian khas International General Certification of Secondary Education (IGCSE) ke Tingkatan Satu 2025 di MRSM Kuala Krai pada 8 Okt lepas berikutan tidak mempunyai wang dan kenderaan.

Selain tinggal di rumah sewa kayu, bapa Nur Nasuha, Mohd Nusi Mamat, 38, turut menghidap penyakit gastrik (gerd) sejak dua tahun lepas dan tidak mampu bekerja.

Sementara  itu, Mohd Nusi ketika dihubungi berkata dia bersyukur kerana isu anaknya mendapat perhatian MARA dan pihak MRSM telah menghubunginya memaklumkan akan membawa Nur Nasuha dari rumah ke MRSM Kuala Krai esok.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan